Categories
NASIONAL

100 hari: PAKATAN laksana Agenda Reformasi fiskal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) tekad melaksanakan pembaharuan fiskal 100 hari pertama, sekiranya berjaya menawan kepimpinan Kerajaan Pusat, di Putrajaya.

Komitmen itu dinyatakan secara jelas Pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

“PAKATAN komited sepenuhnya melaksanakan reformasi yang dilaksanakan secara teratur, telus dan sistematik.

“Ia bagi meningkatkan ekuiti fiskal ketelusan dan akauntabiliti, selain menyokong pelaburan produktif yang cepat demi galakan pertumbuhan ekonomi.

“Kami amat teliti terhadap faktor fiskal ekonomi negeri di bawah Kerajaan Persekutuan untuk menghasilkan penilaian yang lebih bertangungjawab berpandukan kepada pendapatan Kerajaan dalam 100 hari pertama,” kata kenyataan itu.

Penilaian 100 hari pertama akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu, belanjawan dan kewangan Kerajaan Persekutuan, perakaunan akruan dan pengurusan aset-liabiliti, serta obligasi hutang kerajaan yang belum dijelaskan, termasuk hutang jaminan kerajaan, terutama kewajiban asing.

“Justeru, rakyat Malaysia yang dihormati, terkemuka, patriotik dijemput untuk menyumbang dalam melaksanakan pembaharuan ini.

“Kami akan menyediakan pelan pembaharuan komprehensif pada akhir 100 hari pertama yang akan membawa kita kembali ke arah kemakmuran mampan untuk semua rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, rakyat berpeluang untuk mendukung usaha pelaksanaan reformasi baru itu, pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), esok.