Categories
SELANGOR

3,000 rakyat rai kemenangan Juwairiya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 14 MEI: Kira-kira 3,000 pengunjung hadir membanjiri Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bagi meraikan kemenangan Juwairiya Zulkifli.

Majlis yang bermula jam 8 malam itu disambut penuh meriah oleh penduduk setempat berserta laungan reformasi menyambut ketibaan Juwairiya, di Padang Awam Bandar Baru, di sini, malam tadi.

Juwairiya menzahirkan rasa gembira atas kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) di kawasan itu, sekali gus membawa angin baru di Putrajaya.

“Saya yakin dengan terbentuknya kerajaan di bawah pimpinan PAKATAN dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita akan dapat melaksanakan transformasi kepada negara yang selama ini diinginkan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis sama, Juwairiya turut meraikan kaum wanita sempena sambutan Hari Ibu.

Terdahulu, kerusi Parlimen Kuala Selangor dan tiga kerusi DUN dimenangi KEADILAN, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia menyaksikan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim kepada Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan majoriti 8,498 undi.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Bukit Melawati dari BN, Jakiran Jacomah tewas kepada Juwairiya dengan majoriti 2,695 undi.

Manakala kerusi DUN Jeram dimenangi Mohd Shaid Rosli yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan Mohd Nor Mohd Shahar (PAS) (4,326).