OLEH HAFIZAN TAIB
BATU CAVES, 6 MEI: Kewujudan Akademik Bolasepak Merah Kuning (ABMK) di seluruh daerah di Selangor adalah perancangan jangka panjang meningkatkan kualiti bola sepak di negeri itu.
Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Amirudin Shari berkata, pembangunan dilaksanakan melalui MSNS demi kebaikan bola sepak yang menjadi kebanggan rakyat di Selangor.
“Kita sentiasa mempunyai pandangan teliti dalam pembangunan sukan di mana keutamaan adalah bukan mencatat kemenangan atau kejayaan dengan segera.
“Untuk kejayaan segera kita perlu berbelanja lebih bagi mendapatkan pemain tetapi gagal meningkatkan kualiti maka kita merangka pembangunan ini dan melatih pemain dari peringkat awal,” katanya selepas majlis pelancaran ABMK di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, ABMK menyasarkan penyertaan kira-kira 700 pemain dalam program berkenaan dan ia mendatangkan faedah besar bagi pembangunan dirancang.
“Ia satu jumlah yang besar dan kita akan memperkemaskan sistem saringan dan latihan supaya menjadi lebih kemas juga tersusun.
“Melalui kaedah itu kita akan dapat melatih dan melahirkan pemain lebih berkualiti,” katanya yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri Sungai Tua dalam PRU14.
=EZY=