Categories
NASIONAL

Skrip lama Umno, PAKATAN bawa Melayu ke zaman Jepun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Umno mendendangkan skrip lama dengan mencanangkan kononnya Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menyebabkan orang Melayu ketinggalan zaman dan seolah-olah hidup di zaman pemerintahan Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Umno juga sengaja mewujudkan perasaan menakutkan masyarakat dengan dakwaan kononnya akan berlaku huru-hara jika PAKATAN menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Sudah tentu pihak sebelah sana yang melawan kita Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang mencanangkan cerita dongeng kononnya jangan bawa perubahan di peringkat Persekutuan kerana perubahan itu akan membawa musibah.

“Jangan bawa perubahan di peringkat Persekutuan kerana akan berlaku huru-hara. Jangan bawa perubahan peringkat negara kerana orang Melayu akan ketinggalan dan balik ke zaman Jepun, makan ubi kayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Umum Pakatan Harapan di Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, Kerajaan PAKATAN Selangor berjaya membuktikan kemampuan mentadbir Kerajaan lebih baik berbanding 60 tahun di bawah Umno.

Katanya, kejayaan ini membuktikan PAKATAN mampu memenuhi tanggungjawab sebagai Kerajaan Persekutuan lebih baik berbanding Umno jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

=EZY=