Categories
NASIONAL

Anwar ucap terima kasih kesudian Sultan Johor terima mengadap

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta Tengku Mahkota Johor berkenan mengundang beliau untuk mengadap di Istana Baginda, malam semalam.

Sesi mengadap Sultan itu turut dihadiri anak Anwar yang juga selaku Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Anwar berkata, umum mengetahui bahawa kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu pastinya dilapisi dengan hasrat dan harapan rakyat di Johor yang mahukan nasib mereka terbela akibat tekanan ekonomi melampau.

Menyedari hasrat itu, Anwar berkata, Tuanku mahu memastikan supaya penumpuan diberikan kepada pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bersandar kepada pengalaman, Tuanku lebih menumpukan hal ehwal pengalaman PAKATAN sebagai sebuah kerajaan baharu yang mentadbir.

“Pada masa sama, saya diberi perkenan untuk menjelaskan dasar PAKATAN mentadbir berteras kerangka hukum dan Perlembagaan Persekutuan dalam perkembangan mutakhir negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mula bertindak pantas dengan memperkenalkan dasar sesuai dengan mandat yang diamanahkan rakyat.

“Kami menyambut baik keprihatian Tuanku Sultan Johor serta Tengku Mahkota Johor dalam menganggapi permasalahan rakyat serta kecaknaan perihal Malaysia seluruhnya.

“Dengan sokongan dan dukungan segenap lapisan rakyat termasuk Tuanku, Johor khususnya serta Malaysia amnya akan kembali dipacu dalam landasan yang betul, mengarah ke terbinanya sebuah negara bangsa beriltizam serta bermaruah,” katanya.

=EZY=