Categories
NASIONAL

Ayuh bersama PAKATAN selamatkan Malaysia – Wan Azizah

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengajak rakyat untuk menyertai Pakatan Harapan (PAKATAN) selepas ramai pimpinan Umno memilih untuk menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu bangkit mengubah kerajaan dan tidak membenarkan kerajaan rakus terus memerintah negara.

“Jika Tun Daim yang diam ini sudah bersuara, maksudnya kita perlu tukar kerajaan. Jika Tun sudah tinggalkan Umno, kita tunggu apa lagi.

“Mereka kata, kalau Umno tidak ada, mati kita. Hei..Melayu Umno yang melingkupkan negara. Melayu Umno yang merompak Tabung Haji, rompak Felda bukan Lim Kit Siang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Pada masa sama, Wan Azizah turut mahu rakyat menyambut kemenangan PAKATAN itu menjelang kebebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 8 Jun depan.

Lebih 50,000 orang membanjiri Padang AU2 Keramat, di sini bagi mendengar amanat daripada pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Rakyat mula membanjiri padang itu seawal jam 6 petang, walaupun hujan lebat selama hampir dua jam, mereka tetap tidak berganjak.

Laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘Pakatan Harapan’ mengamatkan kawasan terbabit.

Himpunan malam itu turut dihadiri Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.