Categories
SELANGOR

Bantu semua tanpa kira ideologi politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 4 MEI: Rakyat Paya Jaras diberi jaminan akan terus dibantu dalam pelbagai aspek tanpa diskriminasi walaupun memiliki fahaman politik berbeza.

Calon DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, perkara itu sudah dibuktikan sepanjang perkhidmatan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu, sejak 2013.

“Saya tidak kira asalkan mereka orang Paya Jaras, maka saya berhak membantu mereka.

“Saya beri jaminan tidak kira saudara penyokong KEADILAN, BN atau PAS, kalau saya wakil rakyat, saya tetap bantu mereka yang susah tanpa mengira idealogi politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ceramah Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), di Paya Jaras Hilir, di sini, malam tadi.

Katanya, tindakan meminggirkan mana-mana golongan ekoran idealogi politik berbeza adalah perbuatan tidak profesional.

Ketika menyentuh isu bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai PAKATAN, Khairuddin berkata, Islam mengajar umatnya memaafkan sesiapa sahaja yang pernah melakukan kesilapan.

“Walaupun Tun Mahathir pernah melakukan kesilapan suatu ketika dahulu, namun kita patut memaafkan dia,” katanya.