OLEH ERMIZI MUHAMAD
BATU KURAU, 4 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak pernah membayangkan rakan gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN), DAP menggunakan logo mata KEADILAN, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan parti berkenaan bukan perkauman dan lebih mengutamakan permufakatan demi keamanan negara.
Katanya, keadaan itu turut mencatatkan sejarah politik tanah air apabila semua parti pembangkang menggunakan logo sama dalam kertas undi.
“Cuba rakyat fikir, parti DAP contohnya sebagai parti yang lama, kuat dan membentuk Kerajaan di Pulau Pinang sanggup mengenepikan logo roket dan menggunakan simbol KEADILAN demi negara kita.
“Kita orang Melayu pun tidak pernah terfikir hukum akal bahawa satu hari DAP akan guna logo KEADILAN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana KEADILAN di Tapak Pasar Malam Tanjung Piandang, malam tadi.
Pada 6 April lalu menyaksikan PAKATAN secara rasmi mengumumkan penggunaan satu logo dan simbol bagi menghadapi PRU14.
Langkah berkenaan dibuat selepas merujuk beberapa siri tekanan politik oleh pihak tertentu yang menghalang pendaftaran logo PAKATAN sebagai komponen sah PRU14.
Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berdepan masalah pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) turut menggunakan logo sama, pada pilihan raya kali ini.