Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah Brent AS$73.14 setong

SINGAPURA 2 MEI: Harga minyak stabil hari ini, disokong oleh kebimbangan bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin mengenakan semula sekatan ke atas pengeksport utama, Iran, namun bekalan yang bertambah di AS mengehadkan kenaikan harganya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$73.14 satu tong pada 0148 GMT, hampir tidak berubah daripada penutup terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok 15 cents, atau 0.2 peratus pada AS$67.40 satu tong.

Iran, negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), muncul semula sebagai pengeksport minyak utama pada Januari 2016 apabila sekatan antarabangsa terhadap Tehran ditamatkan berikutan halangan ke atas program nuklear negara itu.

Eksport minyak Iran mencecah 2.6 juta tong sehari (bpd) pada April, lapor agensi berita Kementerian Minyaknya, SHANA.

Ia rekod tertinggi sejak sekatan ditamatkan, dengan China dan India membeli lebih separuh daripada minyak Iran.

Bagaimanapun, AS menyatakan keraguan terhadap kejujuran Iran dalam melaksanakan halangan berkenaan dan Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan semula sekatan.

Trump akan membuat keputusan pada 12 Mei ini sama ada untuk mengenakan semula sekatan AS ke atas Iran, yang akan menyebabkan pengurangan eksport minyak negara itu.

SUMBER: REUTERS