Categories
NASIONAL

Ini kuasa wanita – Haniza Talha

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Pentadbiran Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak meremehkan peranan wanita dalam membuat perubahan pentadbiran negara.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) N19 Lembah Jaya, Haniza Talha berkata, kemampuan golongan itu mencipta perubahan turut dibuktikan menerusi penglibatan tokoh politik wanita berpengaruh yang mampu menggugat penguasaan BN, di Putrajaya.

“Jangan dipandang sinis kuasa wanita. Memang ada golongan wanita khususnya suri rumah yang tidak bekerja. Mereka dianggap tidak mempunyai pemahaman jelas terhadap senario politik dan isu-isu negara.

“Tetapi kuasa wanita di rumah, peranan sosial sesama mereka itulah yang membolehkan pentadbiran sesebuah kerajaan berubah.

“Wanita telah buktikannya apabila kita berjaya menawan Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menyaksikan PAKATAN tampil mengetengahkan calon-calon wanita berkredibiliti dan mempunyai pengalaman terbaik untuk mengurus pentadbiran negeri dan negara.

Selain Haniza, calon wanita lain antaranya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong.

Selain itu, Juwairiya Zulkifli, Siti Mariah Mahmud, Rodziah Ismail dan Mariam Abdul Rashid.