Categories
SELANGOR

Shorties Smart Selangor cungkil bakat anak muda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: Pertandingan video Shorties Smart Selangor 2018 berjaya mecungkil bakat pengarahan anak muda tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, melalui pertandingan itu, semua peserta menghasilkan video pendek bagi mempromosikan Smart Selangor kepada orang ramai.

Katanya, beliau berpuas hati apabila hampir semua video pendek dihasilkan menepati syarat sekali gus penghasilannya dapat memberi maklumat lebih tepat kepada rakyat Selangor.

“Smart Selangor dibentuk berasaskan falsafah berteraskan rakyat, MBI berbesar hati apabila menerima lebih 160 penyertaan, ia sekaligus memberi gambaran positif penerimaan rakyat terhadap agenda Kerajaan Selangor ini.

“Menariknya, pertandingan ini turut mendapat penyertaan dari Sabah, Perak, Johor dan Melaka, ia bermaksud rakyat dari negeri lain pun tahu apa itu Smart Selangor, ia perkara yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Malam Gala Shorties Smart Selangor 2018 di MBO Cinema, Space U8, di sini.

Hadir sama Ketua Juri Shorties Smart, Zaki Abdul Rahim dan Pemilik Prokuya Studios, Fadzil Zahari.

Malam gala yang turut mengumumkan lima pemenang utama Shorties Smart Selangor itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal, Yana Samsudin.

Tempat pertama dimenangi Muhammad Roszamer Yaacob yang menghasilkan video I.S.S (Intelligent Selangor State) sekali gus berjaya membawa pulang RM8,000.

Sementara, tempat kedua menjadi milik Iskandar Al Haziq Ahmad Nazri yang membawa pulang wang tunai RM4,000 dengan video Bas Semat @ Smart Selangor.

Bagi tempat ketiga pula, RM2,000 menjadi milik Muhammad Amar Adzim dengan video Harapan.

Tempat keempat dan kelima yang membawa pulang RM500 dimenangi Izaq Yuzaini Ismail (Pengguna Bijak) dan Rabiatul Adawiyah Azaruddin (Takdir Baru).

Raja Shahreen berkata, kesemua pemenang dipilih berdasarkan mesej Smart Selangor termasuk kreativiti, ketulenan video, isi kandungan, gaya penceritaan dan suntingan video.

“Pertandingan Shorties Smart Selangor 2018 merupakan inisiatif MBI dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dengan kerjasama Prokuya Studios ini menyediakan landasan pembikin filem amatur menyampaikan kreativiti filem pendek mereka.

“Saya amat berpuas hati dan kemungkinan pada tahun hadapan MBI akan menaikkan lagi jumlah hadiah kerana ia mendapat penyertaan sangat menggalakkan,” katanya.