Categories
NASIONAL

Jangan ragu hasrat Kerajaan Persekutuan pulihkan ekonomi negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Persekutuan meminta rakyat supaya tidak ragu dengan kepimpinan baharu yang kini akan cuba sedaya upaya membersihkan negara serta mengurangkan masalah ekonomi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beberapa kajian dibuat bagi melihat prestasi ekonomi terutamanya dalam menentukan jumlah hutang ditanggung negara selain menjejaki semula wang milik kerajaan.

“Kita juga ingin membuat kajian tentang prestasi ekonomi dalam negara dan memberi arahan supaya ekonomi negara ini diselidik dengan betul.

“Ini supaya kita tahu berapa banyak hutang ditanggung dan di mana pergi duit-duit milik kerajaan ataupun sama ada perbuatan curang iaitu memaksa pengusaha memberi free share (saham percuma) kepada pihak-pihak tertentu,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan akan meneliti semua aspek dan sekiranya ia memerlukan tindakan selain dibawa ke Parlimen untuk pindakan atau pembatalan undang-undang, maka ia akan dilakukan mengikut keperluan.

“Semua ini akan diberi perhatian oleh kerajaan baharu dan kita akan batal beberapa undang-undang melalui sistem sedia ada.

“Kita mungkin ke Parlimen untuk batalkan dan bentukkan undang-undang baru,” katanya.