Categories
NASIONAL

Kastam minta peniaga turunkan harga barang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Peniaga digesa menurunkan harga barang mulai 1 Jun 2018 selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan penurunan kadar cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pada kadar sifar (0%) daripada enam peratus sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasi berkata Kerajaan tidak melaksanakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) bermula 1 Jun ini dan tarikh perlaksanaan akan diumumkan kemudian.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada kadar standard enam peratus kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sebelum ini, Kerajaan mengumumkan penurunan kadar enam peratus GST kepada sifar berkuatkuasa 1 Jun 2018 dan terpakai di seluruh negara sehingga diumumkan kelak.

=EZY=