Categories
SELANGOR

KDEBWM hasrat ambil alih kutipan sisa industri

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) bercadang mengambil alih kutipan sisa industri di seluruh Selangor.

Pengarah Urusannya, Ramli Tahir berkata, pihaknya akan melihat dan membuat perancangan serius untuk dicadangkan kepada Kerajaan Negeri.

Katanya, hak itu akan diusahakan selepas pihaknya berjaya mengambil alih industri kutipan sampah domestik dan awam di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pihak KDEBWM mempunyai rancangan secara holistik untuk melaksanakan kutipan sisa industri ini.

“Namun, perancangan itu akan dicadangkan kepada Kerajaan Negeri selepas pihak kita mengambil alih kutipan domestik dan awam di semua PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian di forum Selangor Synergies Siri Ketiga yang berjudul ‘Sustainable Synergies in Selangor’ di Empire Hotel, di sini.

Ramli berkata, pengambilalihan kutipan sisa industri itu bagi memperkasakan industri kutipan sampah negeri itu supaya lebih berkesan.

“Bagi KDEBWM, jika tidak ada usaha memperkasakan kutipan sisa industri ini ia akan menimbulkan masalah kepada kita.

“Ia kerana, pembuangan sampah secara haram dari sektor ini akan menjadi punca kawasan yang sudah dibersihkan menjadi kotor,” katanya.