Categories
NASIONAL

Kenyataan Mohd Shukri bukti BN ugut penjawat awam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: Kenyataan dibuat Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, membuktikan era pemerintahan Barisan Nasional mengamalkan kekerasan terhadap penjawat awam.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu jelas amat menggemparkan dan membuktikan ‘negara pernah ditadbir ala mafia atau gangster’.

“Semenjak negara merdeka sehingga sekarang, belum pernah kita mendengar ada pemimpin melakukan tindakan luar batasan kuasa terhadap kakitangan awam seperti berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tindakan seperti ini begitu melampau dan tidak mungkin dapat dimaafkan begitu sahaja. Semestinya rakyat mengikuti perkembangannya merasa sedih juga dukacita akan layan diterima sedangkan beliau dan SPRM berusaha keras mahu menegakkan kebenaran serta menyelamatkan negara,” katanya.

Naib Presiden AMANAH itu berkata demikian menyentuh kenyataan Mohd Shukri beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, tiga tahun lalu.

Mahfuz berkata, pihaknya berterima kasih kepada Mohd Shukri kerana berani mendedahkan pengalamannya dan rakyat mengetahui terdapat segelintir elit politik era pemerintahan BN mencengkam negara menggunakan kekuasaan dan kekerasan terhadap penjawat awam serta menjadikan negara seolah milik peribadi mereka.

“Jika pemimpin kanan SPRM sendiri mengakui diugut, diancam, ditukar dan dipecat ketika menjalankan tugas, bagaimana dengan kakitangan bawahan lain?

“Mungkin ramai lagi mengalami pengalaman sama atau mungkin lebih teruk tetapi enggan mendedahkannya kerana bimbang ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarga mereka,” katanya.

Dalam perkara itu, katanya, beliau bersetuju supaya siasatan menyeluruh dibuat bagi membuktikan kebenaran dakwaan Mohd Shukri dan jika benar, pelakunya wajar dijatukan hukuman berat.

“Ia juga sebagai pengajaran penyelewengan dan salah guna kuasa adalah jenayah berat yang tidak boleh dimaafkan serta sesiapa sahaja melakukannya wajar dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.