Categories
NASIONAL

KKM: Waspada laman web palsu kaut untung

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti kewujudan laman sesawang palsu yang kononnya menyediakan kemydahan membuat tempahan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP).

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, lebih malang laman sesawang palsu iaitu myfpp.com.my mengenakan caj RM10.60 kepada pengguna yang ingin membuat tempahan temujanji bagi memendekkan jangka masa menunggu.

“Kementerian tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak menerbitkan laman sesawang bagi menyediakan kemudahan membuat tempahan FPP termasuklah menggunakan logo KKM.

“Sekiranya orang awam menerima sebarang risalah atau Whatsapp mengenai perkhidmatan ini, dinasihatkan untuk membuat laporan di balai polis dengan segera.” katanya dalam kenyataan.

Chaw Min berkata, KKM tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu tersebut.

Tambahnya lagi, orang awam dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih mengenai perkhidmatan kesihatan di laman rasmi KKM di www.moh.gov.my.

Untuk rekod, FPP adalah satu sistem rawatan yang ideal membolehkan pesakit mendapat rawatan daripada pakar dan kemudahan bertaraf swasta dengan harga berpatutan.