Categories
NASIONAL

MB Perlis akhirnya angkat sumpah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MEI: Datuk Seri Azlan Man akhirnya sah menjadi Menteri Besar Perlis sekali gus menamatkan krisis penamaan jawatan itu yang berlaku hampir dua minggu lamanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Bintong itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi penggal kedua di Balai Menghadap, Istana Arau, pagi tadi.

Sebelum itu pemimpin Barisan Nasional (BN) dilihat bertelagah selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengumumkan nama ADN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, timbul pula persoalan apabila sembilan ADN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu, namun dimaklumkan berada di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, tiga ADN Pakatan Harapan (PAKATAN) dan dua ADN PAS hadir.

Azlan Man, 60, dilantik sebagai Menteri Besar selepas BN berjaya mempertahankan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

PRU-14 menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PAKATAN tiga kerusi dan PAS dua kerusi.