Categories
NASIONAL

PRU14: Sabah tak diiktiraf jika ada unsur rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah tidak akan diiktiraf jika didapati terdapat unsur rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal itu kerana kerajaan memperolehi beberapa bukti perjalanan PRU14 di Sabah dimanipulasi pihak tertentu.

“Kita ada masalah di beberapa negeri untuk tubuh kerajaan seperti di Sabah dengan Warisan menang 35 kerusi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya beberapa kali kira semula dan akhirnya mengurangkannya kepada 29 kerusi.

“Sekarang mereka ada masalah tubuhkan kerajaan dan terdapat beberapa orang lompat parti menggunakan wang,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Tun Mahathir berkata, berbeza dengan tindakan melompat parti ekoran prinsip, sebaliknya melompat parti kerana ditawarkan wang adalah rasuah.

Justeru katanya, kerajaan akan meneliti peruntukan undang-undang dan menjalankan siasatan terhadap isu ini.

“Ini bukan tindakan membalas dendam tetapi kita tak mahu pihak mendapatkan sokongan kerana wang.

“Jika siasatan mendapati terdapat rasuah, kita akan mohon supaya keputusan PRU itu tidak sah. Kita sedang meneliti undang-undang berkaitan,” katanya.