Categories
SUKANKINI

Selamat datang ke Arsenal, Unai Emery

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 23 MEI: Arsenal secara rasmi mengumumkan pelantikan pengurus baru dari Sepanyol, Unai Emery bagi menggantikan Arsene Wenger dengan kontrak selama dua tahun.

Berusia 46 tahun, Emery hadir membimbing The Gunners dengan reputasi cemerlang apabila membawa Paris Saint-Germain (PSG) menjuarai Ligue 1 Perancis selain memenangi empat piala peringkat domestik.

Bekas Pengurus Terbaik Eropah musim 2013-14 itu pernah melakar rekod cemerlang dalam peringkat Eropah apabila menjuarai Piala Europa sebanyak tiga kali bersama Sevilla, pada 2014, 2015 dan 2016.

Kehadiran Unai Emery dijangka mampu membangkitkan semula prestasi cemerlang Arsenal selepas sekadar menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris selain tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Atletico Madrid dalam Piala Europa musim ini.

Unai Emery adalah pengurus kedua bukan berasal daripada Britain yang memimpin Arsenal selepas Arsene Wenger.

Kredit Foto: TalkSport.com