Categories
SELANGOR

SPR diperingat jangan cuba main politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MEI: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sehingga 750 pengundi dalam satu saluran menyebabkan pengundi di saluran terbabit terpaksa menunggu terlalu lama sebelum membuang undi.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, keadaan ini menimbulkan kemarahan pengundi Daerah Mengundi Kampung Merbau Sempak di Masjid Kampung Merbau Sempak.

“Saya beri amaran kepada SPR jangan main politik. Pengundi berdiri lama, orang tua, Orang Kelainan Upaya (OKU) berjam-jam lamanya.

“Rakyat marah dan mereka tak akan benarkan peti undi dibawa keluar sekiranya mereka tak dapat mengundi walaupun dah beratur lama,” katanya ketika meninjau proses pengundian di sini, hari ini.

Jelasnya, SPR wajar memanjangkan tempoh mengundi sehingga kesemua pengundi yang beratur dapat mengundi.

Sementara itu, tinjauan SelangorKini mendapati orang ramai masih beratur panjang khasnya saluran dua dan tiga walaupun hanya tinggal 30 minit sebelum berakhir waktu mengundi.

=EZY=