Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah pertahan perpaduan, muafakat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 14 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah terus mempertahankan perpaduan dan permuafakatan, di negeri ini.

Baginda bertitah, semua pimpinan perlu mentadbir negeri dengan penuh harapan bagi memastikan keamanan dan keselesaan rakyat Selangor terjamin.

“Beta percaya, parti yang berjaya memerintah dapat meyakinkan rakyat Selangor, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Sekarang masanya untuk wakil rakyat melupakan apa-apa yang berlaku semasa kempen pilihan raya dan hendaklah bersatu semula, bekerjasama dan membangunkan Selangor yang dikasihi ini.

“Ini bagi memastikan rakyat Selangor yang berbilang kaum terus hidup seperti sedia kala, seperti pepatah Melayu, ‘biduk lalu kiambang bertaut’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, petang ini.

Pada masa sama, baginda turut bertitah perkembangan permuafakatan masyarakat Melayu kini semakin terhakis, ekoran perbezaan fahaman politik.

Justeru, baginda bertitah masyarakat Melayu perlu bersatu demi kelangsungan agama, bangsa dan negara dengan berpegang kepada prinsip, ‘buang yang keruh ambil yang jernih.’

“Negeri Selangor, rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya.

“Beta berkenan selepas ini rakyat Selangor akan hidup harmoni, bersatu padu, mengamalkan sikap toleransi, hormat menghormati antara satu dengan lain baik dari segi agama dan adat resam.

“Rakyat berbilang kaum mesti menanam semangat untuk bekerjasama bagi membina Selangor yang dikasihi bagi generasi akan datang,” titah baginda.