Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir jumpa warga Jabatan Perdana Menteri esok

PUTRAJAYA 20 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kalinya akan mengadakan perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, esok.

Perdana Menteri dijadualkan tiba di Dataran Perdana kira-kira jam 8.30 pagi dan menyampaikan amanat kepada warga JPM pada perjumpaan bulanan bagi Mei, lapor BH ONLINE.

Ini adalah kali pertama Dr Mahathir memasuki Perdana Putra selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh pada 11 Mei lalu, berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain pertemuan pertamanya secara rasmi dengan penjawat awam.

Sebelum ini, semua mesyuarat dan pertemuan di Putrajaya termasuk bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Presint 8 di sini.

Terdapat 56 jabatan yang berada di bawah JPM, antaranya adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Selepas perjumpaan berkenaan, Dr Mahathir akan ke Istana Negara bagi menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Kabinet Baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang dijangka berlangsung pada jam 11 pagi.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 anggota Kabinet PH di bawah pertadbirannya, membabitkan agihan portfolio antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dr Mahathir juga dijangka mula bertugas di pejabatnya di Perdana Putra, minggu ini.