OLEH SHEEDA FATHIL
KLANG, 3 MEI: Rakyat diseru tidak terus menyumbang undi kepada Barisan Nasional (BN) jika tidak mahu kezaliman berlaku selama lima tahun lagi.
Calon N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau berharap rakyat mula sedar dengan bebanan terpaksa ditanggung jika masih mahu memilih BN.
“Saya faham rakyat kini dalam keadaan tertekan, hidup susah sehingga terpaksa membuat dua ke tiga pekerjaan satu hari ekoran pendapatan tidak mencukupi.
“Malah, ditambah dengan bebanan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang merupakan undang-undang zalim BN kepada rakyat,” katanya pada sesi ceramah kelompok, di Taman Seri Wangi, semalam.
Beliau berkata, sekarang ialah masa sesuai untuk rakyat menolak pimpinan BN yang zalim dan memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir Malaysia jika tidak mahu GST diteruskan.
Pada masa sama, Dr Daroyah turut menyeru rakyat untuk percaya terhadap manifesto yang akan dilaksanakan PAKATAN jika berjaya mentadbir Putrajaya, dengan salah satu perkara utama adalah menghapuskan GST.
“Namun, jika ada rakyat yang masih mahu menyokong BN, terimalah kezaliman GST, kenaikan harga tol, minyak dan kerja siang malam tanpa henti sepanjang tempoh lima tahun ini.
“Saya hairan bagaimana rakyat masih boleh menyumbang undi kepada BN sedangkan mereka sendiri mengeluh dengan kesempitan hidup dan bebanan yang terpaksa ditanggung.
“Beri peluang kepada calon PAKATAN mentadbir Putrajaya dan ternyata dalam masa 100 hari manifesto itu akan dilaksanakan,” katanya.