Categories
NASIONAL

Agong perkenan pendekkan tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR

PUTRAJAYA 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pemendekkan tempoh perkhidmatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Seri Paduka Baginda telah dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun lalu.

“Pemendekkan tempoh perkhidmatan ini juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui surat rasmi bertarikh 11 Jun,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, SPR merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan dengan Suruhanjaya tersebut.

Mohd. Hashim mula menyertai SPR pada 5 September 2014 sebagai Timbalan Pengerusi dan dilantik sebagai Pengerusi pada 24 Januari 2016.