Categories
SELANGOR

Amirudin ada aura tersendiri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Sifat ketokohan dan aura tersendiri dalam diri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari adalah tuah buat dirinya memegang jawatan berkenaan, kata Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Beliau berkata, pelantikan itu akan melonjakkan sokongan dan dokongan rakyat Selangor daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama anak muda terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya yakin dan percaya beliau akan dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Sudah pasti dengan pentadbiran Amirudin, Selangor akan terus menjadi peneraju Malaysia dan negeri maju, sederhana serta progresif,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Suee Lim berharap Amirudin dapat menumpukan perhatian terhadap masalah pengangguran selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama belia.

“Memandangkan Amirudin sudah lama menjawat jawatan Exco belia sebelum ini, jadi saya rasa tidak menjadi masalah untuknya menyelesaikan isu pengangguran, terutama di Selangor.

“Malah, saya berharap Amirudin dapat meraih kepelbagaian budaya, agama dan adat resam yang sentiasa mencabar di negeri ini,” katanya.

Amirudin dilantik selaku Dato’ Menteri Besar baharu menggantikan Mohamed Azmin Ali yang kini menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.