Categories
SELANGOR

Demi rakyat, isteri fahami pengorbanan Amirudin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Masdiana Muhamad memahami pengorbanan suaminya yang banyak menghabiskan waktu bersama rakyat seusai pelantikan Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu.

Masdiana berkata, sejak awal perkahwinan Amirudin sudah memaklumkan kepadanya untuk sentiasa bersedia serta memahami tugas suaminya selaku wakil rakyat.

“Seawal perkahwinan lagi, Amirudin sudah mengingatkan saya bahawa 20 peratus dirinya buat saya dan 80 peratus untuk rakyat cuma kadang-kadang sahaja akan seimbang 50 peratus.

“Saya memahami perkara itu dan bersedia untuk menerimanya dengan hati yang terbuka lagipun ini semua demi kebaikan rakyat dan negeri ini juga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selepas mengetahui suaminya dilantik memegang jawatan Dato’ Menteri Besar, ia umpama mimpi kerana tidak sangka hingga mencapai tahap sedemikian.

“Tidak dinafikan calon lain yang tercalon juga bagus namun atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melantik suami saya merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Sebagai isteri, saya sentiasa menyokong beliau (Amirudin) dan akan sentiasa berada dibelakangnya kerana saya yakin Amirudin mampu untuk menjalankan tuags dengan baik serta dapat meneruskan kepimpinanan cemerlang di Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai tugas yang bakal dipikul beliau pada masa akan datang, Masdiana berkata, beliau sedia menggalas apa sahaja tanggungjawab yang datang meskipun pelantikan dirinya dalam Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Bagaimanapun, Masdiana yang juga seorang suri rumah sebelum ini berkata, beliau tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab terhadap enam orang anaknya.

“Walaupun mempunyai tanggungjawab yang besar selepas ini, saya tidak akan mengabaikan anak-anak,” katanya yang mempunyai anak seawal usia tiga tahun sehingga 12 tahun.

=EZY=