Categories
SUKANKINI

Gol sendiri Aziz Boulhaddouz beri Iran tiga mata

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Jaringan sendiri Aziz Boulhaddouz di penghujung permainan memberikan sinar keceriaan buat Iran untuk mengutip tiga mata penuh menewaskan Morocco 0-1 dalam aksi pertama Kumpulan B awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang dikuasai Morocco 64 peratus itu akhirnya memihak Iran hasil satu kesilapan mudah.

Boulhaddouz yang tidak dicabar melakukan kesilapan menanduk masuk sepakan percuma Ehsan Haji Safi ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola tanpa mampu dihalang penjaga gol, Munir.

Keadaan itu sekaligus menceriakan kem pasukan Iran yang tidak mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan dalam tempo kepantasan serangan.

Kedua-dua pasukan sebelum itu mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama tetapi Morocco hampir dihadapan menerusi percubaan Medhi Benatia di minit ke-19 tetapi berjaya dihalang penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.

Iran yang sekali sekala mengancam kubu lawan mempunyai peluang terbaik menerusi Sardar Azmoun minit ke-43 tetapi percubannya berjaya disekat Munir di gawang Morocco.

Situasi tegang turut disajikan sepanjang tempoh 90 minit permainan dengan empat layangan kad kuning.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup