Categories
SUKANKINI

VAR digunakan buat kali pertama di Piala Dunia

KAZAN 16 JUN: Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala Dunia ketika pertemuan di antara Perancis menang 2-1 ke atas Australia di Kazan.

Dalam perlawanan itu, Antoine Griezmann dijatuhkan dalam kotak penalti pada separuh masa kedua aksi pembukaan Kumpulan C.

Pengadil dari Uruguay, Andres Cunha tidak terus menghadiahkan sepakan penalti tetapi membuat keputusan itu selepas menyaksikan rakaman VAR dan penyerang Perancis itu berjaya meletakkan pasukannya di hadapan.

Tidak lama selepas itu, Australia menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan penalti dan Mile Jedinak tidak berdepan sebarang masalah menewaskan Hugo Lloris.

Paul Pogba memastikan Perancis meraih tiga mata penting dalam perlawanan pertama mereka selepas meledak jaringan kemenangan pada minit ke-82.

Teknologi VAR berjaya digunakan dalam saingan Serie A dan Bundesliga dan FIFA berjaya menggunakannya di Piala Konfederasi tahun lalu.

Tekonologi memberi kesan besar dalam sesuatu perlawanan kerana ia bakal menentukan sesuatu jaringan, sepakan penalti atau kad merah selain digunakan bagi membantu pengadil perlawanan untuk mengenal pasti pemain.

SUMBER: AFP

 

Categories
SUKANKINI

WC2018: Hatrik Ronaldo bantu Portugal bangkit ikat Sepanyol

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Cristiano Ronaldo mencipta hatrik pertama Piala Dunia Rusia 2018 ketika membantu Portugal bangkit mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi.

Ronaldo meletakkan Portugal di hadapan 1-0 seawal minit keempat apabila menyempurnakan penalti selepas Nancho Fernandez menjatuhkan beliau dalam kotak penalti.

Jaringan itu menyaksikan Ronaldo mencipta rekod menjaringkan gol dalam empat kejohanan Piala Dunia FIFA bersama Uwe Seeler, Pele dan Miroslav Klose.

David Silva cuba mengasak Portugal pada minit kesembilan tetapi rembatannya melambung tinggi.

Portugal berpeluang menggandakan jaringan menerusi Goncalo Guedes pada minit ke-22 tetapi berjaya dihalang pertahanan Sepanyol.

Jaringan penyamaan yang dinantikan Sepanyol akhirnya menjelma pada minit ke-24 menerusi Diego Costa.

Berpunca daripada hantaran jauh Sergio Busquets, Costa berjaya melepasi kawalan Pepe sebelum memperdaya dua lagi pertahanan dan melepaskan rembatan ke gawang Portugal yang dikawal Rui Patricio.

Selang dua minit kemudian percubaan Isco singgah di palang sebelum melantun di atas garisan gol.

Andres Iniesta mensia-siakan peluang terbaik untuk meletakkan La Roja dihadapan pada minit ke-35 selepas tampanan beliau gagal menepati sasaran hasil umpanan Jordi Alba.

Keghairahan Sepanyol menambah jaringan akhirnya dihukum Ronaldo apabila beliau menjaringkan gol kedua pada minit ke-44.

Berpunca daripada satu serangan balas pantas, penjaga gol Sepanyol, David De Gea gagal menangkap kemas rembatan Ronaldo yang terus menerjah jaring bagi kedudukan separuh masa pertama 2-1.

Costa sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 buat Sepanyol apabila berjaya menampan tandukan Busquets pada minit ke-55.

Belum sempat Portugal mengatur langkah, Nancho menebus kesilapan babak pertama apabila melepaskan rembatan kencang terkena tiang dan melantun masuk ke gawang pada minit ke-58 untuk Sepanyol dihadapan buat kali pertama, 2-3.

Ronaldo akhirnya melengkapkan hatrik pada minit ke-88 apabila menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan De Gea bagi keputusan akhir 3-3.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Gol sendiri Aziz Boulhaddouz beri Iran tiga mata

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Jaringan sendiri Aziz Boulhaddouz di penghujung permainan memberikan sinar keceriaan buat Iran untuk mengutip tiga mata penuh menewaskan Morocco 0-1 dalam aksi pertama Kumpulan B awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang dikuasai Morocco 64 peratus itu akhirnya memihak Iran hasil satu kesilapan mudah.

Boulhaddouz yang tidak dicabar melakukan kesilapan menanduk masuk sepakan percuma Ehsan Haji Safi ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola tanpa mampu dihalang penjaga gol, Munir.

Keadaan itu sekaligus menceriakan kem pasukan Iran yang tidak mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan dalam tempo kepantasan serangan.

Kedua-dua pasukan sebelum itu mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama tetapi Morocco hampir dihadapan menerusi percubaan Medhi Benatia di minit ke-19 tetapi berjaya dihalang penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.

Iran yang sekali sekala mengancam kubu lawan mempunyai peluang terbaik menerusi Sardar Azmoun minit ke-43 tetapi percubannya berjaya disekat Munir di gawang Morocco.

Situasi tegang turut disajikan sepanjang tempoh 90 minit permainan dengan empat layangan kad kuning.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Gimenez bantu Uruguay sekat kekebalan Mesir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUN: Uruguay terpaksa berhempas pulas sebelum meraih tiga mata penuh menewaskan Mesir 0-1 dalam aksi Kumpulan A.

Tandukan pada minit akhir permainan menerusi Jose Gimenez meruntuhkan kekebalan benteng pertahanan Mesir yang berjaya menyerap asakan Luis Suarez dan Edinson Cavani.

Suarez sebelum itu memiliki hampir empat peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan namun buntu.

Mesir tidak mengambil risiko menurunkan penyerang sensasi, Mohamed Salah meskipun dikhabarkan pemain Liverpool itu cergas untuk beraksi.

Keputusan itu menyaksikan Uruguay ditangga kedua di belakang Rusia yang membelasah Arab Saudi 5-0 semalam.

Foto Kredit: Facebook FIFA World Cup