Categories
NASIONAL

Jawatan Timbalan, ikut keperluan Menteri – Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN : Jawatan Timbalan Menteri bagi setiap Jabatan Kementerian di Putrajaya terhad kepada keperluan Menteri sahaja.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia tidak semestinya perlu dianggotai 25 kementerian kabinet yang ditetapkan.

“Jawatan Timbalan Menteri itu masih kita tidak tahu jumlahnya berapa.

“Ia bergantung kepada keperluan Menteri,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, petang ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menegaskan tiada keperluan penambahan jumlah Menteri Kabinet dibuat sekiranya gabungan itu memegang tampuk pentadbiran Putrajaya.

Komitmen itu kini direalisasikan secara jelas pentadbiran PAKATAN apabila gabungan itu hanya melantik beberapa Menteri Kabinet terpenting, bagi menggerakkan fungsi pentadbiran di Putrajaya.

Untuk rekod, Tun Mahathir hanya melantik 13 anggota jemaah Menteri bagi mengikut keperluan Kementerian utama Putrajaya kini.

Bagaimanapun, tiada lantikan Timbalan Menteri diumumkan sehingga kini.

PAKATAN sebelum ini memaklumkan kabinet baru gabungan itu hanya akan dianggotai 25 menteri, termasuk daripada wakil Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Jumlah itu disifatkan rendah berbanding jumlah kabinet di bawah pentadbiran Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memiliki 35 jemaaah menteri.