Categories
AGAMA SELANGOR

Kebajikan rakyat Gombak sentiasa dalam kepedulian Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 2 JUN: Walaupun sibuk menerajui kepimpinan tertinggi di Putrajaya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak meminggirkan aspek kebajikan masyarakat kurang berkemampuan di daerah ini.

Ahli Parlimen Gombak itu kekal komited memastikan golongan kurang berkemampuan terus dibantu, dalam setiap aspek keperluan dan kebajikan mereka.

Komitmen itu dizahirkan Dato’ Menteri Besar menerusi pemberian insentif kewangan dan barangan keperluan harian kepada masyarakat tempatan di bawah tanggungjawab sosial Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

“Walaupun saya bakal meninggalkan Selangor untuk memberi khidmat sepenuhnya di Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, namun saya tidak akan pernah melupakan aspirasi saya terhadap rakyat Selangor khususnya kepada warga Gombak dan Bukit Antarabangsa.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih terhadap sokongan rakyat Selangor dalam memberi peluang kepada saya sepanjang empat tahun ini untuk secara dekat membangunkan Selangor.

“Saya doakan semoga rakyat Selangor umumnya warga Gombak akan dikurniakan Allah rezeki penuh nikmat dan kesihatan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan di Masjid Kampung Klang Gate Baru (Sementara), hari ini.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen YM Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussain.

Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, selepas Aidilfitri ini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Mei lalu.

=EZY=