Categories
NASIONAL

KSM: Gagal sedia kemudahan, majikan dikenakan tindakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil tindakan terhadap majikan di enam restoran kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diambil ketika operasi dijalankan Penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sekitar Desa Petaling, Sri Petaling dan Bukit Jalil, semalam.

Katanya, kebanyakan majikan didapati gagal mematuhi garis panduan ditetapkan antaranya menyediakan kemudahan asas seperti katil dan tilam untuk pekerja.

“Ini terbukti apabila ada diantara pekerja ditemui tidur di atas lantai dengan berbantalkan lengan dan beralaskan kain sahaja.

“Majikan yang gagal mematuhi garis panduan ini akan disenarai hitam untuk mendapatkan kelulusan permohonan pekerja asing.

“Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan yang melanggar peruntukan yang ditetapkan dan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan,” katanya.

KSM dan JTKSM akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak-hak pekerja terpelihara,” katanya.

Difahamkan seramai 30 anggota penguat kuasa JTKSM diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Asri Ab Rahman menjalankan Ops Patuh itu bertujuan memastikan tahap pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan.

Antara undang-undang tertakluk termasuk Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Perintah Gaji Minimum 2016, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 serta Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing.