Categories
AGENDA NASIONAL

KSM terima banyak aduan majikan tidak benar kerja dari rumah

ALOR SETAR, 27 JUN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sebanyak 3,737 aduan berkaitan pelbagai isu pemburuhan terutamanya berkaitan Bekerja Dari Rumah (BDR) menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW), yang dilancarkan pada awal Mei lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,769 aduan melibatkan kes majikan tidak membenarkan pekerja untuk BDR dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Aduan paling tinggi yang diterima menerusi WFW ini ialah majikan memaksa pekerja untuk datang bekerja di pejabat walaupun tidak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Sepatutnya, majikan hanya benarkan 60 peratus pekerja datang bekerja di pejabat (bagi sektor yang dibenarkan) manakala selebihnya bekerja secara BDR. Tetapi, ada yang kita dapati majikan menyuruh 100 peratus pekerjanya datang bekerja di pejabat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang di Jitra yang menghasilkan produk jenis makanan kesihatan, penjagaan diri dan kosmetik yang turut disertai agensi lain termasuk polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Awang berkata KSM menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah melakukan pemeriksaan terhadap 19,981 majikan yang melibatkan 108,877 tempat penginapan di seluruh negara.

“Sehingga hari ini, sebanyak 757 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019) yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan dan daripada jumlah itu, 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan.

“Kesalahan paling banyak ialah majikan tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja. Selepas ini, kita akan sediakan satu akta yang mewajibkan majikan menyediakan penginapan berpusat, kalau jadi apa-apa senang untuk kita kawal dan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru supaya semua pemain industri agar sentiasa berusaha patuh kepada akta dan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 selain mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 pekerja asing diperluas seluruh negara mulai Selasa

PUTRAJAYA, 30 JAN: Program saringan Covid-19 bagi pekerja asing akan diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Feb ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata perluasan skop itu adalah susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Jan serta pengumuman bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Jan.

Beliau berkata program tersebut dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara yang menjalankan ujian saringan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Saravanan berkata kos bagi kit ujian dibiayai oleh Perkeso manakala majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.

“Perkeso telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Beliau berkata keperluan menjalani saringan Covid-19 diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pematuhan kepada keperluan ini akan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Maklumat lanjut berkenaan program ini termasuk senarai klinik akan dikemas kini di portal Program Saringan Prihatin di https://psp.perkeso.gov.my dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan wajib tanggung kos vaksin, ujian Covid-19 pekerja – menteri

SHAH ALAM, 6 JAN: Majikan diwajibkan membiayai kos suntikan vaksin semua pekerja termasuk ujian pengesanan Covid-19, kata menteri sumber manusia.

Datuk Seri M Saravanan berkata arahan itu selaras dengan Seksyen 24J (f) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Ini susulan keputusan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian pengesanan pandemik ini dengan kos ditanggung majikan.

“Ia berdasarkan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saravanan berkata mulai Isnin ini Pasukan Petugas Khas Program Saringan Kesihatan Covid-19 akan menjalankan operasi ke tempat kerja yang menggajikan pekerja asing.

“Mereka terdiri daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi meningkatkan kesedaran majikan dalam membendung dan mencegah penyakit berjangkit,” katanya.

Pada 24 Disember lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan majikan wajib menanggung kos kuarantin dan rawatan pekerja asing yang positif Covid-19 dan dipindahkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Sumber Manusia sahkan kakitangan positif Covid-19

PUTRAJAYA, 18 DIS: Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini mengesahkan terdapat kakitangannya yang disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

KSM dalam kenyataan hari ini berkata susulan itu, proses sanitasi dan disinfeksi telah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat di ruang pejabat Blok D3 dan D4 bangunan KSM, di sini semalam.

“Sebagai langkah tambahan, proses saringan Covid-19 juga telah dilaksanakan terhadap pegawai-pegawai KSM yang dikategorikan sebagai kontak rapat pada 18 Disember 2020 (hari ini),” katanya.

Menurut kenyataan itu, KSM akan terus memantau perkembangan terkini Covid-19 dan memperketatkan langkah-langkah pencegahan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak itu dapat dibendung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Trend pemberhentian pekerja masih normal

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Bilangan pekerja yang diberhentikan sejak kemunculan jangkitan Covid-19 masih menunjukkan trend yang normal dan tidak meningkat secara mendadak, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menurut kenyataan KSM hari ini, setakat semalam (18 Februari), sebanyak 8,588 pekerja kehilangan pekerjaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membelanjakan RM21 juta bagi membantu mereka.

Justeru, menurut KSM kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan bahawa 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika Covid-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini sebagai hanya spekulatif.

“Anggaran ini tidak mengambil kira pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi melindungi pekerja dan menambah baik kecekapan pasaran buruh negara untuk menangani pelbagai cabaran sosio-ekonomi termasuklah ancaman Covid-19 ini,” menurut KSM.

Menurut kenyataan tu, pada tahun 2019 sebanyak 40,084 pekerja kehilangan pekerjaan dan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejumlah 18,745 pekerja berjaya ditempatkan semula sementara selebihnya masih menerima bantuan dan khidmat sokongan SIP.

Katanya pada tahun lalu, KSM melalui Perkeso membelanjakan RM107 juta bagi membantu pekerja yang terjejas dengan memberikan faedah kewangan dan khidmat sokongan pekerjaan.

KSM menggalakkan golongan pekerja yang terjejas untuk membuat permohonan secara dalam talian menerusi https://eis.perkeso.gov.my/ dan mendaftar sebagai pencari kerja di https://eisjobs.perkeso.gov.my/ atau hadir ke mana-mana pejabat Perkeso terdekat untuk menerima bantuan SIP.

SIP menyediakan faedah kewangan segera iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi tempoh tiga hingga enam bulan. Pekerja yang layak akan menerima EMP sebanyak 80 peratus daripada gaji bulanan anggapan bagi faedah SIP bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat dan 30 peratus pada bulan kelima dan keenam.

KSM menegaskan bahawa tindakan memberhentikan pekerja adalah langkah terakhir yang boleh diambil oleh majikan dan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya tanpa mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KSM: Gagal sedia kemudahan, majikan dikenakan tindakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil tindakan terhadap majikan di enam restoran kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diambil ketika operasi dijalankan Penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sekitar Desa Petaling, Sri Petaling dan Bukit Jalil, semalam.

Katanya, kebanyakan majikan didapati gagal mematuhi garis panduan ditetapkan antaranya menyediakan kemudahan asas seperti katil dan tilam untuk pekerja.

“Ini terbukti apabila ada diantara pekerja ditemui tidur di atas lantai dengan berbantalkan lengan dan beralaskan kain sahaja.

“Majikan yang gagal mematuhi garis panduan ini akan disenarai hitam untuk mendapatkan kelulusan permohonan pekerja asing.

“Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan yang melanggar peruntukan yang ditetapkan dan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan,” katanya.

KSM dan JTKSM akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak-hak pekerja terpelihara,” katanya.

Difahamkan seramai 30 anggota penguat kuasa JTKSM diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Asri Ab Rahman menjalankan Ops Patuh itu bertujuan memastikan tahap pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan.

Antara undang-undang tertakluk termasuk Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Perintah Gaji Minimum 2016, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 serta Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing.