Categories
NASIONAL

Kutipan Tabung Harapan sudah cecah RM27 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JUN: Jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia kini sudah mencecah RM27 juta setakat jam 9.30 pagi tadi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, jumlah besar bagi kutipan tabung itu adalah inisiatif pendanaan masyarakat yang dilancarkan bagi membantu kerajaan melunaskan hutang.

Beliau berkata demikian pada satu majlis penerimaan derma ikhlas itu di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pada majlis sama, beliau turut menerima derma sumbangan bagi tabung itu masing-masing sejumlah RM1 juta daripada syarikat Ewein Berhad, Magni-Tech Industries Berhad dan Tan Sri Tan Kok Ping.

Sementara itu, Chow berkata, sejak penubuhan Tabung Harapan pada 31 Mei lalu, pelbagai pihak di negeri ini mula memberikan pandangan positif sekali gus ada yang bertanya perihal derma berkenaan.

“Dua hari lepas kita ada menerima derma daripada satu pertubuhan bernilai RM50,000 dan hari ini kita menerima sumbangan berjumlah RM3 juta,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji ketua menteri dan 10 anggota Exco untuk disalurkan kepada Tabung Harapan.