Categories
AGAMA SELANGOR

LZS makin ‘agresif’ bantu asnaf

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semakin aktif membantu asnaf fakir dan miskin, sekali gus bertekad mengeluarkan kumpulan berkenaan dari terus dibelenggu status sama.

Ketua Devisyen Pembangunan Asnaf LZS, Zaharudin Salim berkata, ia terbukti apabila lebih 126 anak asnaf yang tidak berjaya menempatkan diri di universiti tempatan berjaya mendapatkan pekerjaan melalui usaha institusi berkenaan.

Katanya, mereka dibantu menjalani program kerjasama bersama syarikat pembekal latihan terkenal, termasuk Naza Academy, CIDB Holdings Sdn Bhd dan SIRIM.

“LZS adalah agensi yang sentiasa memberi bantuan dan kami mengeluarkan mereka daripada status asnaf, salah satunya dengan membantu mendapatkan pekerjaan.

“Mereka akan diberi latihan kemahiran mengikut minat masing-masing selepas tamat pengajian, malah pekerjaan berkaitan disediakan mengikut sijil kursus diambil dan sehingga kini difahamkan gaji minimum mereka serendah RM1,800,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap LZS akan terus melahirkan anak asnaf cemerlang dan berkualiti mengikut pasaran kerja, sekali gus memberi manfaat kepada negeri, masyarakat serta keluarga.

“Harapan kami juga supaya bantuan ini mendatangkan manfaat kepada asnaf untuk cemerlang dunia dan akhirat, seterusnya mengeluarkan diri dari kepompong kemiskinan kemudian menjadikan mereka sebagai pembayar zakat bagi membantu yang lain,” katanya.