Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pencapaian subjek pendidikan Islam di Selangor meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUN: Pencapaian subjek pendidikan Islam termasuk Bahasa Arab semakin meningkat, di Selangor, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim.

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, hal itu sekali gus membuktikan usaha Sektor Pendidikan Islam JPS termasuk guru dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah amat membanggakan, di sebalik pelbagai program dilaksanakan.

“Ia adalah pengiktirafan kepada pelajar dan guru yang berusaha gigih. Semoga ia menjadi pendorong kepada kita untuk meningkatkan kualiti dan prestasi mencapai matlamat negara maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam (AKPI), di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Sebanyak 56 anugerah disampaikan kepada pemenang termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2017 (kelas aliran agama), Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017, Anugerah Kelas Kemahiran Al-Quran Tingkatan 5 2017 dan Anugerah Pengurusan Bilik j-QAF 2017.

Pada masa sama, Mohd Salleh berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf warga pendidik Selangor yang komited membangunkan martabat pendidikan Islam dalam arus pendidikan.

“Saya harap Kerajaan Selangor dengan kerjasama Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin terus bekerjasama dengan pihak JPS,” katanya.