Categories
NASIONAL

Penghapusan GST kurangkan beban rakyat berperingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 3 JUN: Penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal menyaksikan kos sara hidup rakyat bakal berkurangan secara beransur-ansur.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini rakyat menanggung kesan kenaikan harga barangan secara berlapis apabila GST dikenakan di pelbagai peringkat.

“Penghapusan GST ini pastinya memberikan impak kepada kos sara hidup rakyat keseluruhannya kerana kos GST itu akan berkurangan sebanyak enam peratus.

“GST ini bukan sahaja enam peratus tetapi dalam banyak keadaan ianya bertindih atau berlapis menyebabkan rakyat bayar lebih enam peratus.

“Walaupun kesannya tidaklah serta merta tetapi secara beransur harga barang akan jadi lebih murah berbanding harga sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor selepas menghadiri Program Sumbangan Hari Raya di Masjid At-Taqwa Selayang Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, penghapusan GST menyebabkan rakyat mampu berbelanja lebih untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.

Mohamed Azmin juga menggesa pihak bertanggungjawab menjalankan pemantauan harga barangan dan mengambil tindakan kepada pihak yang sengaja menaikkan harga barangan sesuka hati.

GST yang diperkenalkan 1 April 2015 diletakkan pada kadar sifar peratus pada 1 Jun apabila Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umun Ke-14 lalu.

=EZY=