Categories
SUKANKINI

Perancis menang, Peru tersingkir

OLEH HAFIZAN TAIB

YEKATERINBURG, 22 JUN: Perancis melangkah ke pusingan 16 terakhir apabila menewaskan Peru 1 – 0 melalui gol jaringan Kylian Mbappe pada aksi kedua Kumpulan C di sini.

Gol penyerang Paris Saint-Germain itu terhasil pada minit ke 34 dengan menyudahkan bola percubaan Olivier Giroud yang melantun di depan gol melepasi penjaga gol, Pedro Gallese.

Ia memastikan kemenangan pasukan bimbingan Didier Deschamps dan jaringan itu juga memahat nama Mbappe, 19, sebagai penjaring termuda dalam edisi Piala Dunia.

Peru yang memulakan perlawanan dengan beraksi baik serta berusaha mencatat kemenangan selepas tewas 0 – 1 kepada Denmark dalam perlawanan sebelumnya, menyaksikan beberapa percubaan digagalkan ketua pasukan Perancis, Hugo Lloris.

Pasukan Amerika Selatan yang kembali ke Piala Dunia selepas kali terakhir pada 1982 mendapat peluang terbaik melalui Pedro Aquino pada separuh masa kedua, namun menyaksikan bola tendangannya melepasi palang gol.

Deschamps, ketua pasukan yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis pada 1998 berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Denmark.

“Kami gembira dengan kemenangan ini dan akan cuba mengekalkannya untuk menduduki tangga teratas kumpulan sebelum menghadapi peringkat kalah mati,” katanya dipetik AFP.

Perancis mengalahkan Australia 2 – 1 pada perlawanan pertama manakala kekalahan kedua Peru itu pula mengakhiri perjalanan mereka dalam kejohanan kali ini.