Categories
NASIONAL

Perodua turunkan harga selepas GST mansuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JUN: Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengurangkan harga jualan kereta sehingga RM3,500 selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan hari ini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, mulai 1 Jun 2018, Perodua akan menurunkan harga sehingga 5.6 peratus harga jualan bagi kebanyakan model kereta Perodua.

“Memandangkan kerajaan mengumumkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksana semula pada September, maka kami menggalakkan semua rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran bebas cukai selama tiga bulan ini.

“Ia juga adalah masa terbaik untuk membeli kereta Perodua,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, menerusi kadar sifar peratus itu, Perodua juga akan menghentikan pembayaran balik GST untuk pembelian kenderaan, alat ganti serta servis di pusatnya, yang diperkenalkan pada 18 Mei lalu.

Katanya, Perodua juga akan menawarkan rebat sehingga RM800 bagi model terpilih untuk sebarang pembelian yang dibuat pada Jun ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka yang berterusan dan mengucapkan Salam Ramadan serta selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.