Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan serah sumbangan Aidilfitri kepada pelajar, terima wakaf lebih RM1.9 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 2 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM15,000 kepada 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor universiti menyempurnakan penyerahan daripada Tabung Amanah Zakat UPM kepada golongan terdiri dari pelajar fakir, miskin, yatim dan mualaf dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama Baginda di Masjid UPM.

Baginda turut menyampaikan sumbangan Biasiswa Wakaf Ilmu bernilai RM126,000 kepada tiga pelajar Bachelor UPM dengan setiap seorang menerima RM32,000 manakala tiga pelajar Pasca Siswazah Orang Kelainan Upaya UPM menerima RM10,000 setiap seorang.

Wakaf Ilmu diserahkan itu bertujuan memudahkan warga dan alumni UPM serta masyarakat memberi sumbangan berpandukan konsep wakaf untuk membantu pembiayaan aktiviti akademik, penyelidikan dan pemajuan ilmu di universiti itu.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut menerima zakat perniagaan 2017 daripada Pengerusi UPM Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali bernilai RM101,200 selain sumbangan Dana Wakaf Umum berjumlah kira-kira RM1.9 juta.

Ia adalah daripada Dato’ Wan Azman Wan Omar yang menyerahkan Wakaf Staf UPM bernilai RM273,693.29, Zulkiflee Othman (Hasil MUdharabah dan Murabahah – RM304,353.79), Mat Razi Abdullah (Tabung Masjid UPM – RM347,701), Dr Razali Othman (Wakaf Projek Khas – RM654,814.97) dan Dr Hasnah Udin (Wakaf Teratak Pak Ngah Atan – RM350,000).

Dengan disaksikan Baginda, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris juga menyerahkan replika kunci ambulans berjumlah RM241,356.80 kepada Ketua Pusat Kesihatan UPM, Dr Fauziah Adnan.

Mengiringi Sultan Selangor dalam majlis itu ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin; Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta hadirin lain.

=EZY=