Categories
SELANGOR

Fokus hala tuju pembangunan seni Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 JUL: Kerajaan Selangor giat melaksanakan pelan pembangunan baru yang memberi penumpuan khas terhadap aspek pembangunan seni budaya di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dilaksanakan selaras komitmen membangunkan ekonomi negeri meliputi pelbagai keperluan industri di Selangor.

“Sememangnya kita mempunyai perancangan khusus antaranya melaksanakan program seni dan budaya di Petaling Jaya kerana melihat potensi bandaraya ini sebagai Kota Seni di Selangor.

“Saya sangat yakin dasar ini mampu ditambah dengan baik memandangkan kita mempunyai fasiliti terbaik untuk mengangkat agenda keseniaan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Asia Junior Marching Band Championship, di Dataran Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Petaling Jaya; Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Terdahulu, agenda pembangunan seni budaya di Selangor dilaksanakan menerusi penubuhan pelbagai agensi kebudayaan negeri, antaranya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT).

Fungsi penubuhan agensi itu antara lain menjalankan aktiviti berunsur keseniaan dan budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sebelum ini turut mewartakan Bandaraya Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai bandar seni menerusi pembangunan Kota Laman Seni di Seksyen 7 dan 2, Shah Alam.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menyediakan ruangan khas kepada penulis sastera dan keseniaan untuk melontarkan sebarang idea dan karya seni masing-masing di akhbar rasmi Kerajaan Selangor, SelangorKini.

=EZY=