Categories
NASIONAL

KPKT: Tanggungjawab negeri sedia tanah untuk perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Semua Kerajaan Negeri bertanggungjawab menyediakan tanah bagi membolehkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang projek pembinaan perumahan di negeri terbabit.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kegagalan Kerajaan Negeri memberi kerjasama menyediakan tanah menyebabkan KPKT tidak dapat menjayakan projek perumahan untuk rakyat.

“Kerajaan Negeri bertanggungjawab sediakan tanah kerana tanah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Zuraida berkata, penyediaan tanah oleh Kerajaan Negeri turut membantu KPKT mengawal harga rumah yang bakal dibina.

Terdahulu, KPKT menawarkan pembinaan projek perumahan mampu milik di mana-mana negeri sekiranya Kerajaan Negeri terbabit menyediakan tanah bersesuaian.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, sehingga semalam hanya Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sahaja menjawab tawaran beliau.

Katanya, Amirudin dalam reaksinya berkata, Kerajaan Selangor sedang berusaha mengenal pasti tanah bersesuaian untuk projek perumahan mampu milik di jalankan.