Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC catat kejayaan terbaik, duduki tempat ketiga

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 JULAI: PKNS FC mencatat pencapaian terbaik dengan menduduki tangga ketiga dalam Liga Super musim ini.

Selepas menempuh 22 perlawanan dengan pungutan 35 mata, kejayaan diraih itu mengatasi sasaran ditetapkan pengurusan pasukan yang menyasarkan sekurang-kurangnya kedudukan kelima dalam liga.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pencapaian itu adalah hasil kerja keras pasukan dan perancangan rapi pengurusan bagi memperolehnya.

“Setiap kerja keras yang dilakukan pasti membawa hasil,” katanya selepas perlawanan terakhir antara PKNS FC dan Perak di Stadium Sah Alam, di sini, Sabtu lalu.

Dalam perlawanan itu, The Red Ants mengalahkan pasukan lawan 4 – 1.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pengurusan, barisan jurulatih dan pemain yang bekerja keras sepanjang musim untuk kejayaan itu dengan memenuhi sasaran ditetapkan pasukan.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menyifatkan kejayaan itu sebagai kenangan dan sejarah manis untuk The Red Ants.

Ia adalah musim kedua PKNS FC dalam Liga Super di mana musim lalu menamatkan saingan pada kedudukan ketujuh dengan 25 mata hasil enam menang, tujuh seri dan sembilan kalah.

Pada musim ini, pasukan bimbingan Datuk K Rajagopal membaiki kedudukan dengan pencapaian terbaik itu menerusi 10 menang, lima seri dan tujuh kalah.

Musim ini, PKNS FC turut mara ke separuh akhir Piala FA tetapi dikecewakan Selangor dengan agregat 1 – 5.