Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS sumbang RM670,000 kepada 45 NGO-i

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi sumbangan bantuan dana sejumlah RM670,000 kepada 45 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar menggunakan peruntukan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS bertempat di Hotel De’ Palma, di sini, hari ini.

Emran berkata, sumbangan itu membuktikan pihak MAIS komited membantu NGO-i dalam menjalankan aktiviti dakwah kepada masyarakat terutama di Selangor.

“Diharap NGO-i MAIS dapat memperkasakan matlamat dan objektif serta melaksanakan aktiviti memenuhi syarak juga undang-undang.

“Sumbangan fasa pertama kepada NGO-i MAIS tahun ini diharap supaya anda mematuhi piawaian dan kehendak ditetapkan serta menggunakan wang sejajar dengan apa yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Meja Bulat NGO-i MAIS “Menangani Isu Ancaman Akidah dan Sosial Selangor” serta Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS, di sini, hari ini.

Selain itu, Emran berkata, jumlah NGO-i MAIS yang berdaftar adalah 89 namun hanya 45 sahaja layak disebabkan beberapa dokumen yang tidak lengkap.

“Yang selebihnya tidak boleh menerima dana ini lagi kerana borang aktiviti yang belum lengkap bagi tempoh Jun hingga Disember 2017.

“Bagaimanapun, apabila mereka sudah mengemukakan borang yang lengkap pihak kita akan menilai dan mula membayar dana kepada mereka dalam masa terdekat ini,” katanya.

=EZY=