Categories
EKONOMI NASIONAL

‘Mid term review’ fokus pelaburan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan membentangkan perolehan prestasi ekonomi suku tahun negara hujung tahun ini, kata Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pendekatan digunapakai dalam pembentangan perancangan penstrukturan baru itu meliputi beberapa teras berbeza daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Katanya, ia termasuk penumpuan khas di peringkat Kementerian untuk melaksanakan dasar ekonomi baru di bawah urus tadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Pembentangan itu bukan sekadar melakukan penelitian semasa atau semakan dua tahun pentadbiran sebelum ini tetapi kerajaan akan memberi penjelasan berkenaan hala tuju pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Ia masih bersandarkan kepada manifesto PAKATAN kerana dasar ini amat penting bagi kami untuk berkongsi kepada masyarakat berkenaan polisi dan dasar baru.

“Keutamaan ini termasuk komitmen kami memulihkan kembali ekonomi negara dalam beberapa tahun ini,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita pada Persidangan Malaysia Economic Monitor edisi ke-18, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, pagi ini.

Beliau berkata, kerajaan juga kini dalam usaha merancakkan lagi agenda pembangunan ekonomi negara bagi meningkatkan daya saing pelaburan negara (Foreign Direct Investments-FDI).

“Ini kerana amat sukar bagi kami mengembalikan kepercayaan pelabur baru ekoran ia bukan dipengaruhi statistik atau data terkini, justeru halangan ini menjadi cabaran besar kepada Kerajaan PAKATAN.

“Isu inilah yang kekal menjadi keutamaan bagi kami dan tentunya kerajaan cukup optimis perkembangan lebih positif dapat diterima selepas perkara ini dibawa ke kabinet dan Parlimen akan datang,” katanya.