Categories
SELANGOR

Sultan: Selangor perlu tingkat usaha tarik pelabur

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah negeri ini perlu meningkatkan usaha bagi menarik pelabur asing di sebalik kelembapan ekonomi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pelabur mempunyai banyak destinasi untuk dipilih dan negeri ini perlu membuat tawaran yang terbaik, lapor The Star.

Baginda turut menyatakan kerisauan dengan keadaan kelembapan ekonomi sekarang dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengembalikan kerancakannya.

“Sebab itu mereka (ahli perniagaan) lari ke Vietnam seorang demi seorang. Kita akan kehilangan pelaburan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah kos tenaga buruh yang lebih murah di negara berkenaan selain Indonesia dan Kemboja menjadikan mereka berdaya saing.

Bagaimanapun, baginda mengakui EXCO Industri dan Perdagangan Datuk Teng Chang Khim menjalankan tugas dengan baik.

Tambah baginda Selangor kekal menjadi tempat yang baik tetapi ‘kita perlu melakukan lebih baik’.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF: Program imunisasi negara kembalikan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk mengekalkan pelaburan berimpak tinggi mereka di Malaysia, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata susulan itu kadar pelaburan asing dan domestik dalam negara turut dapat ditingkatkan, seterusnya menjana hasil positif untuk ekonomi negara.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diharapkan dapat mengembalikan keyakinan para pengguna dan mula berbelanja untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pasaran dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata majikan dan orang awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan program imunisasi yang akan dilaksanakan kelak berjalan lancar.

“MEF berharap penduduk di Malaysia termasuk warganegara, warga asing yang berdaftar dan tidak berdaftar serta penduduk suaka politik dapat menerima manfaat melalui program imunisasi ini,” katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Feb 2021 sejurus selepas penghantaran pertama vaksin yang dijadualkan tiba pada 21 Feb.

Program imunisasi ini akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021; fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Selain itu, Shamsuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lepas, keadaan perniagaan amat terjejas dan dengan lebih 32,000 perniagaan ditutup serta lebih 100,000 pekerja hilang punca pendapatan.

Justeru, beliau berharap Majlis Pekerjaan Negara akan dapat menetapkan dasar proaktif yang boleh membantu majikan sektor swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKP: Kerajaan, bank disaran pertimbang bantu perniagaan terjejas – NCCIM

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap kerajaan dan bank akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan dan langkah bantuan kepada perniagaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua.

Ini terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga kecil, peruncit dan sektor perjalanan dan pelancongan, demikian menurut Presiden NCCIM Tan Sri Ter Leong Yap.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyarankan bank untuk terus menghulurkan sokongan dengan memudahkan obligasi pembayaran semula pinjaman kepada peminjam ekoran situasi semasa.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melanjutkan program subsidi upah untuk membantu sektor yang terjejas selain pelancongan dan runcit seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 di samping menyediakan geran kewangan sekali beri kepada peniaga kecil dan perusahaan mikro.

Ter turut berharap agar kerajaan memberi pelepasan sewa dan diskaun elektrik, membenarkan pembayaran baki cukai tahun taksiran 2020 dan 2021 secara ansuran selama tiga bulan dan menyediakan subsidi ke atas kos pemvaksinan pekerja asing untuk perniagaan, terutamanya PKS.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan peraturan darurat perlu dikendalikan dengan berhati-hati dan dikuatkuasakan secara telus dan disampaikan dengan baik untuk memupuk keyakinan dan meredakan ketidakpastian pelabur.

Malahan, katanya, apa yang lebih penting, ia perlu ditamatkan apabila perintah darurat telah mencapai matlamatnya berikutan tempoh darurat yang berlarutan akan menjejaskan prospek pelaburan swasta.

“Ketika tempoh darurat ini, pertimbangan paling penting adalah komunikasi yang efektif dan penyebaran maklumat.

“Dalam hal ini, libat urus kerajaan dan pengawal selia bersama-sama industri adalah penting sebelum pelaksanaan dasar awam dan perintah ordinan baharu untuk mengurangkan gangguan kepada perniagaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest Selangor lancar platform digital mudahkan rujukan pelabur

SEPANG, 24 OGOS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) melancar platform digital bulan depan bagi memudahkan pelabur merujuk industri ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata platform itu memudahkan pelabur tempatan dan luar negara mendapat maklumat.

“Selepas penularan Covid-19, Invest Selangor lebih memilih konsep maya untuk sebarang urusan termasuk promosi menarik pelabur tempatan dan asing,” katanya ketika menyertai lawatan Dato’ Seri Amirudin Shari ke kilang sarung tangan getah, Hartalega NGC Sdn Bhd semalam.

Tahun lalu, Selangor mencatatkan pelaburan tertinggi dengan nilai RM47.8 bilion diikuti Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

Semua negeri itu menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2019.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Kelulusan 100 hari bantu Selangor tarik pelabur pasca Covid-19

SEPANG, 24 OGOS: Pelaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari pada Januari mampu menarik pelabur ke Selangor sekali gus meningkatkan semula perolehan pendapatan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar itu terbukti berkesan apabila hasil kutipan pelaburan mencecah 50 peratus selepas tiga bulan dilancarkan.

“(Selepas penularan Covid-19) Kita dah lakukan langkah awal untuk tarik pelabur dan ia mendapat sambutan serta reaksi positif pelabur.

“Cuma disebabkan Covid-19 pencapaian terganggu dua tiga bulan. Kita akan rancakkan semula pembangunan dengan langkah sedia ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melawat kilang sarung tangan getah, Hartalega NGC Sdn Bhd hari ini.

Melalui dasar itu, beliau berkata pelabur akan mendapat kebenaran merancang antara tiga ke enam bulan berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu sehingga setahun bagi membina kilang.

“Ini mengurangkan tempoh menunggu antara 150 ke 200 hari,” katanya.

Dasar Kelulusan 100 Hari dilaksanakan mengikuti Mekanisme Pembayaran Deposit Premium yang digariskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor membabitkan kebenaran merancang, pelan pembangunan dan pelan insfrastruktur.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka lebih rendah 4.4180/4230 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini berikutan permintaan tinggi terhadap unit mata wang negara maju itu susulan peningkatan kebimbangan membabitkan penularan pandemik Covid-19, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit turun kepada 4.4180/4230 berbanding dolar AS daripada 4.4080/4120 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata prestasi ringgit itu juga seiring dengan kelemahan mata wang pasaran serantau apabila Covid-19 terus menjejaskan sentimen pasaran dan pelabur bertindak mengeluarkan dana mereka.

Sementara itu, berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.

Ia mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0394/0440 daripada 3.0425/0470 sewaktu ditutup pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.7109/7171 daripada 4.7759/7822 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9741/9800 daripada 4.0457/0574 semalam.

Namun, ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.0940/1010 daripada 5.0848/0923.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK mahu terus sedia kemudahan mesra pelabur

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 31 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK)!akan terus memberikan perkhidmatan terbaik khususnya demi keselesaan pelabur tempatan dan luar negara ke daerah itu, sekali gus mahu mengekalkan anugerah ‘The Most Preferred Investment Location By Local Authority in Selangor’ yang dimenangi, pada 29 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, Klang menerima pelaburan tertinggi berjumlah RM1.86 bilion daripada dua pemain industri utama iaitu IKEA dan Ramly Burger.

“Kita membantu daripada segi menyediakan infrastruktur membabitkan tanggungjawab kita, di samping lokasi yang dekat dengan Pelabuhan Klang.

“Jalan dan infrastruktur di kawasan Klang akandi baiki segera jika menerima aduan dengan menggunakan peruntukan yang ada, di samping mengadakan Hari Bertemu Pelanggan bersama pelabur.

“Dalam pertemuan itu, kita akan mendengar masalah dikemukakan serta memberikan penyelesaian segera kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bilangan 1/2019.

MPK menerima anugerah itu dalam Majlis Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor yang berlangsung, di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Anugerah itu disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Aliran masuk bersih meningkat, raih keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara ini mencecah RM479.6 juta sehingga 24 Januari lalu, sekali gus mengatasi aliran minggu lalu sebanyak RM471.3 juta.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, institusi dana asing muncul pembeli bersih dengan mencatat RM293 juta berbanding RM417 juta, pada minggu sebelum ini.

Malah katanya, perkembangan positif itu menunjukkan saham Malaysia mencatat nilai lebih baik di tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda, di Amerika Syarikat (AS).

“Minggu ini dimulakan dengan nada lebih suram ekoran kehadiran faktor seperti (data) ekonomi China bagi suku keempat 2018 yang kurang memberangsangkan, semakan semula unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), impak berterusan rundingan perdagangan antara Washington-Beijing serta kesan Brexit di United Kingdom yang menyebabkan ketidaktentuan di pasaran,” katanya kepada BERNAMA.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak sekitar paras rintangan, pada 1,700 mata walaupun terbukti cuba melepasi tahap itu khususnya pada awal minggu ini.

“Bagi minggu depan, kami menjangkakan pasaran kekal suram berikutan perkembangan isu Brexit, rundingan dagangan Amerika Syarikat-China serta mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 30 Januari yang akan dipantau secara teliti oleh pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, pasaran negara sedang pesat membangun menyaksikan kemunculan semula minat pelabur antarabangsa selepas Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah.

Katanya, aliran dana ke dalam pasaran ekuiti Malaysia minggu ini juga berbeza apabila minat lebih ketara terhadap saham-sahan bermodal kecil dan sederhana berbanding saham mewah dan berkaitan indeks di pasaran negara lain rantau ini.

“Apa yang menghairankan, FBM KLCI mendapat kurang manfaat daripada pasaran serantau lain namun aliran masuk (dana) itu kekal menggalakkan dan mendorong peningkatan kaunter bermodal kecil dan sederhana,” katanya.

Malah, katanya, ketidaktentuan mengenai Brexit turut menyebabkan pelabur bertindak beralih ke pasaran negara sedang pesat membangun.

Seorang lagi penganalisis, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, momentum Bursa Malaysia agak suram ekoran pendirian pelabur yang masih menunggu hasil rundingan perdagangan AS-China, pada akhir bulan ini.

“Harga minyak mentah kekal stabil sekitar US$60 setong manakala ringgit terus rendah kepada RM4.14 yang dapat membantu meningkatkan eksport.

“Malah, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus turut membantu meredakan sentimen tidak menentu di pasaran,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Malaysia terus jadi destinasi menarik pelabur asing

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Malaysia, di bawah kerajaan baharu, dijangka terus menjadi destinasi menarik untuk pelabur asing melabur antaranya kerana kos modal hartanahnya yang masih rendah, kata Pengasas dan Pengerusi Country Heights Holdings Bhd (CHHB), Tan Sri Lee Kim Yew.

Lee berkata hartanah masih merupakan faktor penting sewaktu pelabur membuat keputusan berkenaan pelaburan langsung asing (FDI) dan mana-mana perniagaan yang mahu memulakan operasi mereka.

“Nilai hartanah di Malaysia adalah antara yang masih murah di rantau ini dan akan terus menjadi daya penarik kepada pelabur asing. Bagi memulakan perniagaan, kos modal, terutamanya untuk hartanah, masih merupakan faktor penting.

“Selagi kerajaan meneruskan dasar mesra perniagaan yang mengalu-alukan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, saya percaya masa depan negara untuk terus menerima FDI adalah memberangsangkan,” kata Lee kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Kepimpinan Disruptif Asean 2018, di sini, pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata aspek bakat berkemungkinan telah mengatasi kepentingan keperluan industri berintensifkan buruh dalam membuat keputusan berkenaan FDI.

“Kos buruh yang murah tidak lagi begitu utama berbanding keperluan bakat.

“Bakat boleh dibentuk sama ada menerusi pendidikan di Malaysia, atau kaedah paling pantas adalah dengan menarik bakat dari luar negara.

“Oleh itu saya menyokong cadangan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang mahu memberi kerakyatan kepada pakar IT asing untuk bekerja di Malaysia baru-baru ini,” katanya, sambil menambah bakat Malaysia yang tinggal di luar negara telah mula menunjukkan minat untuk kembali berkhidmat untuk negara.

Sementara itu, Lee menggesa sektor swasta tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian budaya Malaysia, bersedia menghadapi perubahan dan gangguan baharu sama ada dari dalam atau luar negara, untuk dapat terus bertahan dalam perniagaan dan berkembang.

“Sektor swasta mesti terus inovatif ke arah ekonomi yang kukuh dan kemajuan selanjutnya.

“Kita mesti menggunakan teknologi di era digital ini. Gunakan Malaysia sebagai platform, teruskan asas perniagaan di sini, berkembang ke peringkat serantau dan kemudian global,” katanya.

Lee berkata menerusi perubahan dan inovasi, CHHB dapat kekal relevan ke hari ini dan mencapai kejayaan besar dengan beberapa projek berjaya merangkul anugerah.

CHHB, konglomerat sektor hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia sejak 1994, telah mempelbagaikan aktivitinya merangkumi pembangunan hartanah dan pelaburan, pengurusan hotel dan resort, penjagaan kesihatan, pengurusan acara dan pameran, pendidikan, pelancongan dan pemasaran keanggotaan, dengan nilai gabungan aset melebihi US$450 juta setakat 31 Dis, 2017. (US$1 = RM4.03)

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

‘Mid term review’ fokus pelaburan negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan membentangkan perolehan prestasi ekonomi suku tahun negara hujung tahun ini, kata Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pendekatan digunapakai dalam pembentangan perancangan penstrukturan baru itu meliputi beberapa teras berbeza daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Katanya, ia termasuk penumpuan khas di peringkat Kementerian untuk melaksanakan dasar ekonomi baru di bawah urus tadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Pembentangan itu bukan sekadar melakukan penelitian semasa atau semakan dua tahun pentadbiran sebelum ini tetapi kerajaan akan memberi penjelasan berkenaan hala tuju pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Ia masih bersandarkan kepada manifesto PAKATAN kerana dasar ini amat penting bagi kami untuk berkongsi kepada masyarakat berkenaan polisi dan dasar baru.

“Keutamaan ini termasuk komitmen kami memulihkan kembali ekonomi negara dalam beberapa tahun ini,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita pada Persidangan Malaysia Economic Monitor edisi ke-18, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, pagi ini.

Beliau berkata, kerajaan juga kini dalam usaha merancakkan lagi agenda pembangunan ekonomi negara bagi meningkatkan daya saing pelaburan negara (Foreign Direct Investments-FDI).

“Ini kerana amat sukar bagi kami mengembalikan kepercayaan pelabur baru ekoran ia bukan dipengaruhi statistik atau data terkini, justeru halangan ini menjadi cabaran besar kepada Kerajaan PAKATAN.

“Isu inilah yang kekal menjadi keutamaan bagi kami dan tentunya kerajaan cukup optimis perkembangan lebih positif dapat diterima selepas perkara ini dibawa ke kabinet dan Parlimen akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kedudukan strategik tarik minat peniaga India melabur di Selangor

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 APR: Pengusaha farmaseutikal dan nutraseutikal India menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dan melabur di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, kedudukan dan kemudahan logistik mendorong maklum balas menggalakkan pelabur.

“Selangor terletak di pusat Asia Tenggara, jadi mereka percaya barangan akan mudah diedar ke seluruh dunia dengan kos pengangkutan yang rendah berbanding Indonesia, bahkan tanah industri kita juga dilihat lebih munasabah.

_MG_3382“Kita ada Pelabuhan Klang yang jauh lebih besar daripada yang sedia ada di India,” katanya kepada Selangor Kini.

Baru-baru ini, beliau bersama rombongan pegawai Invest Selangor Berhad mengadakan lawatan ke Mumbai dan Chennai, India.

Katanya, lawatan itu hanya tertumpu kepada usaha menarik pelabur dalam bidang farmaseutikal dan nutraseutikal.

“Mereka ada menyatakan hasrat bagi meneliti dan meninjau peluang yang ditawarkan di Selangor,” katanya.

-NFN-