Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor terus perkasa institusi tahfiz

OLEH SHEEDA FATHIL

SABAK BERNAM, 12 JUL: Selangor terus memperkasakan institusi tahfiz sekaligus tidak membenarkan sama sekali pihak tertentu menutup pusat itu daripada henti beroperasi.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, cadangan menutup pusat tahfiz sama sekali tidak wajar malah ia timbul daripada seorang beragama Islam.

“Jika institusi tahfiz ditutup, siapa yang akan memperkasakan al-Quran supaya ia terus subur dalam kalangan masyarakat jika bukan golongan itu.

“Kita akui memang wujudnya beberapa masalah mengenai pusat tahfiz di Selangor yang tidak berdaftar dan mengikut kurikulum ditetapkan namun perkara ini boleh diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Bahagian Pemulihan Al Riqab MAIS 2018, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohamed Khusrin berkata, pihaknya komited meneruskan Maahad Tahfiz Integrasi Sains (MITS) di seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, setakat ini, sudah terdapat empat MITS antaranya di Jugra, Klang, Sabak Bernam dan Sepang serta Pandan sedang dibina.

“Ia bukan sekadar tahfiz tetapi maahad ini mampu menjadi sebuah tahfiz yang boleh melahirkan lebih ramai golongan profesional seperti doktor dan jurutera.

“Malah, kita kini dalam perancangan untuk membina sebuah maahad tahfiz antarabangsa pertama di negeri ini bertempat di Seksyen 7, Shah Alam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, maahad tahfiz antarabangsa itu sedang dalam peringkat perancangan dan ia dibina melalui sumbangan wakaf tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Ia sedang dalam perancangan dan kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan,” katanya.