Categories
AGAMA SELANGOR

TH komited beri bimbingan terbaik kepada bakal haji

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Lembaga Tabung Haji (TH) komited memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal haji, termasuk mengadakan bimbingan melalui pelbagai kursus dianjurkan, di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata, ia bertujuan melahirkan jemaah haji berpengetahuan, celik ilmu dan bersedia terutama dalam perkara berkaitan ibadah serta urusan perjalanan semasa di Tanah Suci sebelum mereka berangkat.

“Sebelum Kursus Perdana Haji ini diadakan, beberapa kursus lain dilaksanakan seperti Kursus Asas dan Kursus Intensif serta Kursus Khas Haji untuk warga emas juga bakal haji terpilih di saat akhir.

“Kursus Perdana Haji ini adalah landasan ulang kaji dan pelengkap kepada proses bimbingan haji dikendalikan TH dan ia sesi untuk memberi makluman penting juga terkini kepada bakal haji sebelum bertolak ke Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1439 Hijrah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, seramai 7,830 bakal haji dari Selangor terpilih mengikuti kursus berkenaan, pada kali ini.

Melalui kursus itu, katanya, bakal haji diberi peluang melaksanakan aktiviti ibadah haji secara amali seperti bertawaf, sa’ie dan melontar jamrah secara berkumpulan.

“Ini bertujuan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci supaya bakal haji lebih bersedia nanti,” katanya.

TH menganjurkan Kursus Perdana Haji 1439 Hijrah peringkat Selangor mulai 30 Jun hingga 1 Julai ini.

Kursus terbabit turut diadakan secara berperingkat di 17 lokasi seluruh negara mulai 29 Jun sehingga 8 Julai dengan kursus terakhir kepada bakal jemaah haji.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berangkat mencemar duli merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.