Categories
AGENDA NASIONAL

Kemudahan digital galak pendeposit TH tambah simpanan semasa pandemik

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Umat Islam di Malaysia kini boleh melakukan hampir keseluruhan transaksi kewangan berkaitan urusan haji secara dalam talian, bermula dengan membuka akaun Tabung Haji (TH), mendeposit wang ke dalam akaun TH, menyemak baki dan rekod akaun, mendaftar haji sehinggalah mengemukakan rayuan haji.

Lebih menarik, pada masa depan, urusan pengesahan menerima tawaran haji dan membayar dam haji juga boleh dilakukan secara dalam talian.

Semua kemudahan ini merupakan inisiatif digitalisasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan para pendepositnya membuat urusan mengikut keselesaan masing-masing dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa secara mudah.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata, kemudahan perkhidmatan dalam talian yang disediakan sejak 2020 menerusi platform THiJARI merupakan antara faktor TH berjaya mencapai sasaran jumlah simpanan pendeposit RM80 bilion, lebih awal daripada jangkaan.

“Pada 2020, simpanan terkumpul pendeposit TH adalah RM75.9 bilion dan TH menjangkakan jumlah itu akan mencecah RM80 bilion menjelang akhir tahun ini. Namun, sasaran RM80 bilion sudah berjaya dicapai awal bulan lepas walaupun negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan,” katanya kepada pemberita dalam wawancara secara dalam talian, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkembangan positif dan agak mengejutkan itu menunjukkan TH kini menyediakan platform dan saluran dalam talian yang cukup luas bagi pendeposit membuat simpanan sesuai dengan matlamatnya untuk menjadi institusi simpanan kewangan utama bagi umat Islam di negara ini.

Mustakim berkata, susulan jumlah simpanan terkumpul pendeposit yang dicapai lebih awal daripada yang dijadualkan, TH setakat ini belum menetapkan angka sasaran baharu bagi jumlah simpanan terkumpul pendepositnya menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut menjangkakan jumlah pendeposit aktif TH yang kini hampir sembilan juta orang meningkat terutamanya dalam kalangan pendeposit muda melalui pemerkasaan platform digital TH.

TH ingin melihat lebih ramai pendeposit memulakan simpanan haji sejak dari kecil menerusi kemudahan terbaharu yang diperkenalkan iaitu pembukaan akaun secara maya (VAO) yang membolehkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai akses THiJARI membuka akaun TH untuk anak yang berusia 18 tahun ke bawah, katanya.

Menurut Mustakim melalui VAO, masa yang diambil untuk mengaktifkan akaun di kaunter TH sangat singkat iaitu hanya satu minit, iaitu melibatkan pembayaran deposit permulaan, rekod biometrik dan pengesahan dokumen yang perlu dilakukan di mana-mana kaunter TH dalam masa 30 hari selepas pembukaan akaun TH dipohon melalui platform THiJARI.

Kemudahan baharu lain yang ditawarkan TH selain di platform THiJARI ialah pemindahan wang dari akaun bank ke akaun TH menggunakan platform JomPay secara percuma menerusi perbankan dalam talian bank-bank di Malaysia, katanya.

Mustakim berkata, sambutan pelanggan TH terhadap VAO yang baru diperkenalkan pada 27 Mei lepas amat menggalakkan apabila sebanyak 4,000 permohonan diterima dalam tempoh 24 jam dengan 1,000 akaun sudah diaktifkan.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata TH akan terus memperluas akses perkhidmatannya menerusi platform digital dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan terkini apabila 80 peratus transaksi kewangan di TH terlaksana menggunakan platform digital dan hanya 20 peratus transaksi kewangan dilakukan di kaunter.

Pada masa yang sama, kata Mustakim, perkhidmatan untuk urusan pengeluaran simpanan TH kekal perlu dilakukan di kaunter atau di mesin pengeluaran wang dan perbankan Internet di bank-bank rakan strategik iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank.

Ini kerana keutamaan TH sebagai institusi simpanan haji adalah memudahkan pendeposit menyimpan, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH lantik 22 syarikat sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 2021

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh lembaga berkenaan.

“Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, C.S Holidays Sdn Bhd, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini telah diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

TH catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2020, disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

TH berkata pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang RM1 bilion atau 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya bagi tempoh Januari hingga 30 Jun, 2020.

“Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan sama pada 2019.

Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti RM1.86 bilion pada 30 Jun, 2020, katanya.

Sementara itu, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak pandemik Covid-19 berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan koronavirus.

“Impak besar dari wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara menjadi cabaran paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

“TH juga  mengambil langkah mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula, TH perlu menjadi lebih cekap dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” kata beliau.

Nik Mohd Hasyudeen berkata TH juga sedang membuat persediaan menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih mencabar pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji musim 1441H/2020M, termasuk menangani cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi pandemik itu.

Setakat 30 Jun, 2020, jumlah deposit meningkat kepada RM73.86 bilion berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember, 2019, dengan lebih 123,000 akaun simpanan baharu dibuka pada separuh pertama 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700,000 akaun pendeposit TH tidak aktif

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Lebih 700,000 akaun pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM60.4 juta didapati tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai 2012 sehingga akhir Ogos lalu.

TH dalam kenyataan menasihatkan pendeposit terlibat mengaktifkan akaun masing-masing dengan membuat sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller; atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November ini akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif).

Namun, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant itu masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan Seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

“Setiap tahun, TH akan mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TH di 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencapaian TH: Malaysia bangga terima pujian antarabangsa 

SEPANG, 4 OGOS: Malaysia bangga menerima pujian dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam atas pencapaian Lembaga Tabung Haji (TH) yang menguruskan ibadah haji jemaah negara dengan baik, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika berucap pada majlis selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim haji 1440/2019 di Kompleks TH Sepang hari ini, Perdana Menteri berharap TH terus komited dalam meningkatkan tahap perkhidmatan.

“Ini termasuk dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jemaah haji Malaysia antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain kerana TH memberi khidmat layanan dan urusan haji dengan lebih teratur yang diuruskan dari awal hingga akhir.

Dr Mahathir turut berpesan kepada jemaah haji Malaysia supaya mengikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tahap kesihatan sentiasa baik untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna.

“Semasa di Tanah Suci nanti, doakanlah agar negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera. Hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut,” katanya.

Beliau difahamkan, sudah lebih 90 peratus jemaah haji Malaysia berada di Makkah sehingga hari ini dan tinggal beberapa sahaja lagi penerbangan.

Pada majlis hari ini, 483 jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.20 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH nasihat jemaah haji dapatkan bimbingan jika hadapi masalah

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Jemaah haji yang berdepan masalah atau kemusykilan dalam menjalani ibdah umrah dan haji dinasihat mendapatkan bimbingan guru pembimbing disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Pengurus Ibadat Madinah TH, Mohd Zamri Ramli berkata, pihaknya menyediakan 12 guru pembimbing di Madinah bagi membantu menjawab serta membimbing jemaah dan mereka boleh terus berhubung atau berjumpa dengan guru pembimbing ditugaskan di zon hotel penginapan masing-masing.

Beliau berkata, ceramah dan sesi ulangkaji mengenai ibadat umrah dan haji juga turut diadakan bagi mengingatkan semula jemaah mengenai ibadah yang akan dijalankan.

“Mereka juga boleh menghubungi talian hotline yang tertera pada tali tanda nama mereka pada bila-bila masa.

“Petugas yang menjaga talian hotline itu akan menjawab setiap kemusykilan terutama ketika jemaah berada di luar serta sedang melakukan ibadah,“ katanya pada sidang media di Madinah yang dikongsikan TH kepada Bernama di sini, hari ini.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Mohd Zamri, 38, berkata masalah dan kemusykilan ibadah yang paling tinggi diterima pihaknya adalah berkenaan kesihatan wanita seperti permasalahan haid, manakala lelaki turut mengemukakan masalah kesihatan seperti kencing tidak lawas.

“Biasa setiap persoalan itu akan dijawab dengan teliti bagi memberi kefahaman kepada jemaah yang bertanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tabung Haji serah zakat RM6.5 juta kepada Maidam

 

KUALA TERENGGANU, 30 Mei: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM6.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima pembayaran zakat itu daripada Pengurus Besar (Operasi Domestik) TH Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali di Istana Syarqiyyah, di sini.

“Bayaran zakat untuk Terengganu itu mencatatkan peningkatan sebanyak 26.4 peratus berbanding tahun 2017 yang berjumlah RM5,162,195.54,” kata Ahmad Ruzman selepas majlis penyampaian zakat berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Maidam Datuk Osman Muda dan Pengarah TH Negeri Terengganu Datuk Mohyen Mosman.

Ahmad Ruzman berkata TH berharap dengan pembayaran zakat itu, ia dapat dimanfaatkan oleh Maidam ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.

Ahmad Ruzman berkata jumlah keseluruhan bayaran zakat TH pada 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus iaitu RM85.57 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM67.61 juta.

Pada majlis yang sama Dr Ahmad Shamsuri turut menyampaikan sumbangan zakat Terengganu Incorporated kepada Sultan Mizan yang berjumlah RM3.8 juta bagi zakat perniagaan syarikat anak kerajaan negeri itu untuk tahun kewangan 2018.

Pada majlis yang berasingan di pejabatnya, Maidam turut menerima pembayaran zakat dari Bank Muamalat Malaysia Berhad yang berjumlah RM159,304.

Sementara itu, Osman berkata Maidam menyasarkan pungutan zakat berjumlah RM170 juta pada tahun ini berbanding RM160.3 juta tahun lepas. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perdana Menteri utus surat kepada Arab Saudi mohon kuota tambahan haji

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata bagaimanapun buat masa ini Lembaga TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan hal itu.

“Kita telah menggunakan saluran tertentu untuk membolehkan kita tetap mendapat kuota tambahan berkenaan. Kita amat berharap kalau tak dapat 10,000 kuota sekurang-kurangnya 8,000 masih berpeluang.

“Saya difahamkan perdana menteri sendiri telah mengutus surat kepada kerajaan Arab Saudi (baru-baru ini) berhubung kuota tambahan ini. Jadi kita harap jawapannya adalah secepat mungkin kerana musim haji sudah tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour peringkat TH di sini, hari ini.

Kuota rasmi yang diperuntukan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini adalah sebanyak 30,200 orang.

Ditanya sama ada TH yakin akan tetap mendapat kuota tambahan bagi jemaah haji Malaysia, Zukri berkata sukar untuk beliau menjangkakan hal itu memandang banyak faktor yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memutuskan perkara itu.

TH amat berharap agar kuota tambahan itu dapat diberikan bagi mengurangkan tempoh menunggu bakal haji yang jumlah tempohnya sekarang dianggarkan selama 120 tahun, katanya.

Menurutnya penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia akan berlepas pada 4 Julai manakala penerbangan terakhir adalah pada 4 Ogos dan jangkaan hari wukuf adalah pada 10 Ogos bagi musim kali ini.

Dalam pada itu Zukri berkata TH yakin dapat memberikan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2019 yang lebih tinggi iaitu melebihi 1.25 peratus pada 2018 berikutan perkembangan positif dan pengurusan pemulihan yang baik dilaksanakan TH ketika ini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fuziah: Tidak timbul isu aset TH diurus bukan Islam

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Isu berhubung aset Tabung Haji (TH) yang didakwa diuruskan ketua pegawai eksekutif bukan Islam tidak timbul, kata Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, aset berkenaan dipindahkan kepada syarikat tujuan khas SPV, Urusharta Jamaah Sdn Bhd diketuai Izad Shahadi Mohd Sallehuddin yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif, pada 2 April lalu.

Katanya, penubuhan SPV yang dimiliki kerajaan dikenali sebagai UJSB itu bertujuan membantu mengambil alih aset Lembaga Tabung Haji yang mengalami kejatuhan nilai bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti badan berkenaan.

“Pelantikan ini (Izad Shahadi) sebagai langkah pembentukan pasukan pengurusan di UJSB bagi memastikan kelangsungan proses pemulihan aset yang dipindahkan TH.

“Maka tidak timbul isu pelantikan pegawai eksekutif bukan Islam yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Fuziah berkata, dokumen yang digunakan untuk mengambil alih aset itu adalah melalui Perjanjian Pemindahan Aset dan bukan melalui Perjanjian Jual Beli.

Katanya, kerajaan perlu mengambil alih aset berkenaan pada harga premium bagi menutup jurang defisit di antara aset dan liabiliti TH.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prokas tidak urus aset TH – Mujahid

KUALA LUMPUR, 2 APR: Syarikat tujuan khas (SPV), Prokas Sdn Bhd berperanan menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak menguntungkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Muhajid Yusof.

Beliau menegaskan SPV itu tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai kuasa eksekutif.

“Keputusan semua akan kembali pada ahli lembaga pengarah SPV iaitu Urusharta Jamaah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Isu berkenaan dibangkitkan blok pembangkang yang mendakwa aset TH dikawal oleh ​​​​​​​bukan ​​​​​​​Islam ​​​​​​​yang diketuai Chen Yin Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Mujahid berkata, Lembaga Pengarah UJSB terdiri daripada antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai Pengerusi UJSB, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Rashidah Mohd Sies selaku Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan.

Dalam pada itu, Mujahid berkata pengagihan hibah TH akan dilakukan setelah semakan terhadap kedudukan kewangan bagi 2018 dimuktamadkan.

“Dengan kata lain, tidak lagi dimuktamadkan kerana kita masih lagi terikat dengan pelbagai kekangan untuk memastikan kedudukan kewangan yang berakhir 2018 mematuhi sepenuhnya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia iaitu polisi tentang rosot nilai,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul menjunjung ​​​​​​​kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Subsidi jemaah haji muassasah kali pertama kekal

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan itu dicapai selepas beberapa perbincangan bersama Lembaga Pengarah TH.

“Keputusan Lembaga Pengarah TH ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH, bagi 2019.

“Justeru, dengan pengumuman terbaharu ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta,” katanya.

Katanya, sebelum ini pelbagai dakwaan mengelirukan timbul terutama berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji walaupun pada masa itu perkara ini belum dimuktamadkan.

Pada 14 Februari lalu, Mujahid mengumumkan bayaran untuk menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980, dengan kerajaan menanggung subsidi RM12,920.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH belum muktamad pemohonan rayuan haji

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) belum memuktamadkan atau mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon rayuan haji yang berjaya.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga kini pihaknya masih dalam proses penilaian setiap permohonan rayuan secara individu dengan mengambil kira semua kategori rayuan yang akan dinilai dengan terperinci.

“Sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan).

“Surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat. TH berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kos sebenar mengerjakan haji pada musim 1440 Hijrah/2019 Masihi ialah RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah.

Kos itu menurut TH, merangkumi bayaran harga tiket penerbangan carter pergi-balik, penginapan, pengangkutan, sajian makanan dan bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tempoh lebih 40 hari jemaah berada di tanah suci.

“Ini belum mengambil kira perbelanjaan TH untuk menyediakan perkhidmatan secara percuma seperti pelbagai kursus haji di seluruh negara, urusan stesen berlepas dan ketibaan di tanah air, pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan, buku-buku bimbingan, pembimbing ibadat haji, kaunter kewangan, kaunseling dan petugas haji, perubatan serta peronda,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun ini ialah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu.

– BERNAMA