Categories
GLOBAL

WhatsApp janji bertindak isu mesej palsu di India

NEW DELHI 5 JUL: WhatsApp berkata semalam, ia ‘terkejut’ dengan rentetan pembunuhan tanpa undang-undang di India dicetuskan khabar angin palsu dikongsi dalam platformnya ketika kerajaan menuduh perkhidmatan mesej itu tidak bertanggungjawab.

Lebih 20 orang terbunuh di India dalam tempoh dua bulan lalu, menurut laporan media selepas khabar angin disebarkan di telefon pintar mengenai penculik kanak-kanak, pencuri dan pemangsa seksual.

Serangan itu, biasanya menyasar orang luar, menyebabkan pihak berkuasa bergelut melancarkan tindakan berkesan, dengan kempen kesedaran dan amaran awam yang memiliki kesan terhad.

Satu kenyataan tegas dikeluarkan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat lewat kelmarin menyatakan ‘bantahan mendalam’ terhadap pengurusan kanan WhatsApp berhubung ‘mesej tidak bertanggungjawab dan mencetuskan huru-hara.’

“Kerajaan juga menyampaikan dengan jelas bahawa WhatsApp perlu mengambil tindakan segera menamatkan ancaman ini,” katanya.

Dalam sepucuk surat kepada kerajaan India, WhatsApp berkata, ia ‘sangat peduli terhadap keselamatan rakyat’ dan mengambil langkah menghalang penyebaran berita palsu dan penipuan.’

“Kami terkejut dengan tindakan buruk keganasan dan mahu bertindak balas segera terhadap isu amat penting ditimbulkan anda,” kata WhatsApp dalam surat dilihat AFP.

Syarikat berkata, ia sedang bekerja dengan penyelidik India untuk memahami lebih jelas masalah itu dan memperkenalkan perubahan dikatakan dapat mengurangkan penyebaran mesej tidak dikehendaki.

SUMBER: AFP