Categories
NASIONAL

Dekati erti ‘korban’ perantau

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut kedatangan Zulhijjah, iaitu Hari Raya Aidiladha atau cukup sinonim dengan Ibadat Haji dan Korban.

Bagi perantau di ibu kota, ini saat dinanti mereka yang mengimpikan untuk menyambutnya di kampung halaman bersama keluarga dan saudara mara.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir warga kota terpaksa meraikan kegembiraan itu di perantauan kerana terikat dengan tugas dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Tinjauan SelangorKini di Masjid Negara termasuk beberapa tempat sekitarnya mendapati, rata-rata masyarakat Islam menyambutnya dalam kesederhaan bagi menghayati dan memperingati pengorbanan yang dituntut dalam ajaran Islam.

Bagi Nur Afifi Mohamed Taib, 41, beliau berkata, Aidiladha memberi makna cukup mendalam kepada dirinya, termasuk semua insan yang meraikannya.

“Bagi saya pengorbanan itu mempunyai pengertian yang amat meluas dan besar, bukan sekadar yang ‘Muhkamat’ (jelas), tetapi perlu memahami serta mencari makna yang ‘Mutasyabihat’ (tersirat)

“Mengambil skop hari raya korban sempena Aidiladha, pengorbanan itu adalah sesuatu yang perlu diterap dalam diri seseorang individu kerana ia menjadi titik tolak ke arah mengubah diri menjadi muslim berguna dan berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, anak jati kelahiran Johor, Mohd Herin Mansor, 38, berkata, perayaan Aidiladha tahun ini disambut dengan lebih aman dan bersederhana tetapi dilengkapi rasa syukur serta semangat pengorbanan.

“Ini kali pertama saya menyambut Aidiladha di Kuala Lumpur bersama keluarga memandangkan ibu dan mertua berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadat haji.

“Walaupun hati tetap terusik, namun ketiadaan ibu tercinta di samping pada pagi raya juga dianggap sebagai pengorbanan, iaitu dengan menggalas tanggungjawab diamanahkan sebagai anak sulung dan bapa untuk menjaga keselamatan keluarga,” katanya.